Sekali lagi, tanpa prasangka tujuan pengumuman ini adalah untuk menutup isu PPSMI yang belum ketahuan ke mana arahnya (terakhir ulama Malaysia menerusi SHURA turut menghantar memorandum kepada Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong memohon perkenan agar PPSMI dimansuhkan), saya kira niatnya baik. Memang sejak awal pengenalan PPSMI lagi cedekiawan dan bahasawan telah menekankan peri pentingnya Bahasa Inggeris diperkasakan melalui kaedah P&P Bahasa Inggeris, bukan melalui P&P Sains dan Matematik (serta semua subjek yang bernaung di bawahnya). Maka jika Menteri Pelajaran ingin menjadikan Bahasa Inggeris lebih diminati dan ditekuni oleh para pelajar, P&P Bahasa Inggerislah jawapannya.
Niat yang baik, jika tidak dilaksanakan dengan jalan dan kaedah yang betul sesungguhnya akan mengundang padah. Dengan mewajibkan semua pelajar lulus dalam BI dalam SPM secara teorinya mungkin benar, tetapi secara praktisnya sekali lagi ia mengundang keluh – kesah masyarakat yang tidak terdedah dengan baik dengan persekitaran Bahasa Inggeris. Bayangkan jika mengajar BI pun dalam Bahasa Melayu, bagaimana hendak membudayakan bahasa Inggeris dan memastikan pelajar lulus? Soal pokok di sini bukanlah kewajipan lulus, tetapi sebanyak manakah kerajaan telah berusaha memastikan kecukupan guru bahasa Inggeris yang sebenarnya (maksud : yang opsyen Bahasa Inggeris) mengajar bahasa itu di kawasan pedalaman. Di kawasan bandar tidak dinafikan kecukupan mungkin berlaku, tetapi di Felda dan sekolah luar bandar, guru bahasa Melayu pun mengajar bahasa Inggeris. Bukan sahaja di sekolah rendah, bahkan menjankit sehingga ke sekolah menengah. Tak percaya? Minta Menteri Pelajaran turun sendiri ke SMK Lokmanul Hakim, Felda Lok Heng, Kota Tinggi. Rujuk opsyen guru Bahasa Inggeris mereka!
Sekali lagi saya berpendapat bahawa pendidikan bukanmedan meraih populariti politik murahan. Pendidikan ialah masa depan negara, masa depan bangsa, masa depan rakyat! Maka sebarang perubahan mestilah dibincangkan dengan teliti oleh golongan yang berautoriti, bukannya diumumkan selepas bangun tidur! Keputusan pula tidak boleh diambil dalam maa seminggu dua, tetapi mestilah melihat banyak faktor, termasuklah persediaan pelajar, keupayaan tenaga pengajar, kecukupan prasana, dan pelbagai faktor lagi. Pendidikan untuk semua, bukan hanya untuk segelintir golongan yang sudah sedia terdedah dan cukup alat dan piawai. Jika demikian, mana murninya matlamat “pendemokrasian pendidikan” yang pernah dilaungkan oleh mantan Menteri Pendidikan (kini PM) ketika memperkenalkan Akta Pendidikan 1996?
“Fikir-fikirlah kerana fikir itu pelita bagi hati”.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan