02 Disember 2008

Dato’ Mukhriz Mahathir, Exco Pemuda UMNO Malaysia merangkap Ahli Parlimen Jerlun mencadangkan sistem pendidikan sekolah rendah dijalankan hanya menerusi sistem sekolah kebangsaan. Menurut beliau, pelajar-pelajar sekolah rendah sepatutnya mengikuti sistem pendidikan yang sama, iaitu sekolah kebangsaan dengan menggunakan bahasa pengantar yang sama, bahasa Melayu. Walau bagaimanapun, sebagai anak kepada pencetus PPSMI, beliau berfahaman sama dengan bapanya – Tun Mahathir Mohamad, bahawa mata pelajaran Sains dan Matematik hendaklah menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar.

[Isu PPSMI akan diulas kemudian]


Secara dasarnya, apa yang diperkatakan oleh Dato’ Mukhriz itu menepati falsafah dan matlamat Penyata Razak yang menjadi induk pembentukan sistem pendidikan kebangsaan Malaysia moden. Tujuan akhir pendidikan, menurut Penyata Razak ialah “untuk menyatupadukan semua budak-budak di dalam Tanah Melayu [Malaysia]”. Jadi, saya menyokong penuh sekiranya sekolah satu aliran, iaitu aliran kebangsaan sahaja diwujudkan di Malaysia.

Hal ini walau bagaimanapun tidaklah bermaksud pendidikan bahasa asing dan bahasa ibunda dipinggirkan. Seperti bahasa Iban dan bahasa Kadazan di Sarawak dan Sabah, bahasa-bahasa Tamil, Punjabi, Mandarin, Siam dan bahasa-bahasa sukuan yang lain perlu diajar sebagai satu mata pelajaran di peringkat sekolah. Jadi, seperti yang digariskan oleh UNESCO, hak mempelajari bahasa ibunda (menurut mereka hanya 3 tahun sahaja) terjamin, selari dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan Malaysia.

Memang nanti akan ditentang oleh pelbagai pihak cadangan Dato’ Mukhriz tersebut, malah oleh orang-orang Melayu sendiri. Namun sekiranya kita benar-benar mempunyai rasa cinta dan bangga dengan Malaysia, cadangan ini buknalh sesuatu yang aneh. Di Singapura, Thailan dan Indonesia, tidak pernah wujud sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil. Begitu juga di Amerika Syarikat dan United Kingdom. Malah, di India dan China yang mempunyai pelbagai suku kaum juga, bahasa pengantar di sekolah ialah bahasa Inggeris (India) dan bahasa Mandarin (China). Mungkin Malaysialah satu-satunya negara yang membenarkan dwisistem dalam pendidikan berlaku dan diberi bantuan pula oleh kerajaan (lihat Belanjawan 2009 – RM 50 juta diperuntukkan kepada setiap aliran sekolah – sekolah jenis kebangsaan Cina, Tamil dan sekolah Missionary).

Jika kita imbas kembali peristiwa seorang wanita keturunan India warganegara Malaysia ditahan oleh imigresen kerana disyakki pendatang asing dari India pada awal tahun ini, maka cadangan kali ini sungguh perlu dilaksanakan. Bayangkan, lahir di Malaysia dan sudah 21 tahun hidup di negara ini, tetapi tidak dapat bertutur dalam bahasa kebangsaan, bahasa rasmi Malaysia – Bahasa Melayu! Sungguh memualkan. Jadi salah siapa kalau dia ditangkap dan dianggap sebagawai pendatang tanpa izin? Pekerja Bangladesh yang baru tiga bulan berada di Malaysiapun sudah boleh bertutur lancar dalam bahasa Melayu, rakyat Malaysia 21 tahun hidup di bawah payung Seri paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, tidak dapat bertutur sepatah haram dalam bahasa kebangsaannya!

Tuntasnya, cadangan ini perlu diambil serius oleh semua pihak tanpa mengira fahaman politik dan parti.

1 ulasan:

balan berkata...

Setuju sepenuhnya dengan Mukhriz. Please do read my take on this issue. http://balankumarpremakumaran.blogspot.com/

Soksek Soksek SPM 2023

 Pasukan Academic Support Team (AST) PPD Kubang Pasu kembali turun menggempur calon-calon SPM Kubang Pasu 2023. Tahun ini, pasukan AST yang ...