Ada tiga perkara yang dapat saya simpulkan daripada bicarawara "Isu" di RTM1malam tadi (30 Disember 2008):-
1. Matlamat PPSMI bukan untuk menguasai bahasa Inggeris, tetapi untuk penguasaan ilmu;
2. Pelaksanaan PPSMI yang tidak berkesan, khususnya dalam merapatkan jurang antara pelajar Bandar dan luar Bandar; dan
3. Kesan pelaksanaan PPSMI ke atas jati diri jati diri “bangsa Malaysia”.
Saya ulas satu persatu :-
Matlamat PPSMI bukan untuk menguasai bahasa Inggeris, tetapi untuk penguasaan ilmu.
Nampaknya Kementerian Pelajaran Malaysia telahpun meminda tujuan asal PPSMI diperkenalkan. Pada peringkat awal pelaksanaan PPSMI dahulu, isu yang sering diuar-uarkan ialah pentingnya PPSMI dalam meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris pelajar. Hal ini demikian kerana n era globalisasi menuntut pelajar menguasai bahasa Inggeris. Yang lebih utama, pelopor PPSMI, Tun Dr. Mahathir juga menjelaskan bahasa tujuannya adalah utnuk menguasai bahasa Inggeris. Jika dilihat daripada sejarahnya, kebimbangan masyarakat terhadap penguasaan bahasa Inggeris oleh para pelajar dalam PMR dan SPMlah yang mencetuiskan idea ini. Bahkan ada yang lebih ekstrem, misalnya oleh Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) pada awal tahun 1990-an yang mencadangakan agar sekolah aliran Inggeris kembali diwujudkan. Nampaknya, dipertengahan jalan pelaksanaan PPSMI, matlamatnya juga sudah berubah. Maka tidak hairanlah jika Datuk Alimuddin, Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia menjelaskan tujuan PPSMI bukan untuk menguasai bahasa Inggeris.
Persoalannya : adakah penguasaan ilmu dapat ditingkatkan dengan hanya mengetahui istilah-istilah sains, matematik dan teknikal dalam bahasa Inggeris? Bukankah jika membaca makalah dan buku ilmiah, keseluruhannya ditulis dalam bahasa Inggeris, bukannya istilah sahaja? Kalau begitu, jika buku dalam bahasa Jepun, diselitkan dengan istilah biologi dalam bahasa Inggeris, maka pelajar kita dapat menguasainya?
Pelaksanaan PPSMI yang tidak berkesan, khususnya dalam merapatkan jurang antara pelajar bandar dan luar bandar.
Merujuk kepada pencapaian PMR, pencapaian pelajar luar bandar meningkat sekali ganda dalam Sains dan enam kali ganda dalam Matematik. Atas fakta tersebut, KPPM berhujah bahawa dengan pengenalan PPSMI, jurang perbezaan antara bandar dan luar bandar semakin kecil. Atas hal yang sama juga, Datuk Ali Hasan menekankan pelonggokan prasarana dan guru-guru yang cekap, mahir dan lengkap hanya di kawasan bandar.
Persoalannya : Tidak adakah sesiapa melihat bahawa jurang perbezaan antara pelajar aliran sastera dengan sains? Adilkan kepada pelajar aliran sastera (bermula daripada tingkatan 4) hanya belajar bahasa Inggeris, Sains, dan matematik Moden dalam bahasa Inggeris, sedangkan pelajar aliran sains belajar dalam bahasa Inggeris bagi mata pelajaran Bahasa Inggeris, Matematik, English for Science and Technology (EST), Biologi, Kimia dan Fizik. Akan wujudlah nanti dwisistem dalam pendidikan kebangsaan, sedangkan sekarangpun sudah ada dwi sistemnya apabila wujud pendidikan kebangsaan dan jenis kebangsaan!
Persoalan juga : Sekiranya jurang fizikal dan guru antara bandar dan luar bandar telah mengecil, maka adakah PPSMI wajar diteruskan? Saya kurang bersetuju dengan alasan penentangan seperti ini.
Kesan pelaksanaan PPSMI ke atas jati diri jati diri “bangsa Malaysia”.
Sebenarnya masyarakat bukan menghadapi globalisasi, tetapi Amerikanisasi, iaitu menerima budaya dan ideologi Amerika dalam negara ini. Hal ini jelas dengan pelaksanaan PPSMI. PPSMI telah menjerat minda beberapa kerat masyarakat kita, tetapi yang berkuasa. Dengan kuasa mereka, dipaksanakan PPSMI ke atas seluruh pelajar sekolah di Malaysia. Apabila protes terjadi, mereka menggunakan alasan sesuatu dasar tidak boleh diputuskan dengan cepat tanpa melihat pelbagai kesan kepada pelajar dan sistem pendidikan. Ironinya, pelaksanaan PPSMI dijalankan tanpa kajian yang terperinci dan menyeluruh.
Penentangan masyarakat terhadap PPSMI bukan sahaja disebabkan oleh tujuan dan matlamatnya yang songsang, akan tetapi yang lebih utama, PPSMI mengkhianati perjuangan nenek moyang kita mempertahankan negara ini daripada penjajahan. Selepas 51 tahun merdeka, kita dengan rela hati membiarkan diri dijajah kembali. Penjajahan bentuk baru, atas nama “globalisasi” telah menyebabkan kita tersungkur di depan makam pejuang yang bermandi darah demi mempertahankan maruah bangsa dan negara! Kita sanggup kehilangan identiti dan jati demi atas nama “globalisasi”. Aneh sungguh!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan