14 Disember 2008

Bangsa Malaysia : Mitos?

Sejak akhir-akhir ini, slogan “bangsa Malaysia” semakin popular diperdebatkan, khususnya oleh ahli-ahli politik. Saya berasa perbincangan tentang bangsa Malaysia memang wajar dialu-alukan, bahkan patut diperbanyakkan. Cuma, dalam keghairahan membincangkan tentang bangsa Malaysia ini, semua pihak tidak seharusnya terpesong daripada fokus perbincangan yang benar, adil dan objektif.

Bangsa Malaysia tidak wujud secara semula jadi. Bahkan sehingga kini, selepas 51 tahun mencapai kemerdekaan, kewujudan bangsa Malaysia masih samar-samar. Semasa mengisi borang permohonan atau butiran peribadi dan seumpamanya, tiada sesiapapun yang akan mengisi perkataan “Malaysia” pada ruangan “bangsa”. Tidak hairanlah perkara ini terus berlaku kerana sesungguhnya konsep bangsa Malaysia itu sendiri terlalu kabur bagi majoriti rakyat Malaysia. Persoalannya, apakah bangsa Malaysia?

Dalam Perlembagaan Persekutuan, tidak ada sepatahpun frasa yang merujuk rakyat negara ini ialah bangsa Malaysia. Yang ada hanyalah istilah “Melayu” yang diterangkan secara panjang lebar takrif, hak dan keistimewaannya (lihat Perlembagaan Persekutuan Perkara 161 dan 162, serta lain-lain yang berkaitan). Bangsa Malaysia hanya wujud sebagai satu slogan politik. Oleh sebab itulah kewujudannya terus – terusan menjadi agenda politik demi mencari keuntungan politik semata-mata.

Seperti yang dinyatakan oleh Dato’ A. Aziz Deraman, budayawan dan mantan Ketua Pengarah DBP Malaysia(dalam Dewan Budaya, Ogos 2008) bahawa :

“bangsa Malaysia tidak akan wujud selagi rakyatnya tidak berpegang kepada nilai-nilai bangsa yang sama berkongsi segala sistem dan perlambangan nasional yang merentasi batas suku kaum dan suku bangsa. Untuk itulah maka dasar-dasar kebangsaan diperkenalkan. Kadang-kadang rakyat melebihkan tuntutan kepentingan kaum sendiri atas tujuan politik berbanding dengan gerakan bagi memartabatkan hak-hak negara. Perjuangan politik tanpa mengutamakan cita-cita kebangsaan atau kenegaraan hanya akan melebarkan jurang perkauman, bukannya aspirasi kenegaraan dan negara bangsa”

Masalahnya sekarang semakin ramai ahli politik yang menonjolkan kepentingan kaum, kononnya demi mencapai kewujudan bangsa Malaysia. Anehnya, kepentingan yang ditonjolkan itu tidak sedikitpun mrlambangkan cita-cita dan hasrat menzahirkan satu indentiti nasional. Helah bahawa multibangsa dan multibudaya ialah identiti nasional sesungguhnya amat janggal kerana tiada satupun bangsa di dunia yang mempunyai lima, enam bahasa dan budaya yang sama taraf dan sama kedudukannya. Maka, akan terhasilkan bangsa Malaysia yang digembar-gemburkan itu? Fikir-fikirkanlah!

Tiada ulasan:

Soksek Soksek SPM 2023

 Pasukan Academic Support Team (AST) PPD Kubang Pasu kembali turun menggempur calon-calon SPM Kubang Pasu 2023. Tahun ini, pasukan AST yang ...