29 Mac 2012

Kekeringan...

Rasa nak menulis, tetapi tiba-tiba kekontangan idea. Agaknya terlalu banyak tugasan yang diberi dengan tajuk. Apabila mahu menulis tanpa tajuk...beginilah jadinya!

24 Mac 2012

Akhirnya,,,

Keputusan SPM dah lama diumumkan. Syukur, sehingga tahun ini, tidak pernah aku terlepas untuk hadir di sekolah pada tarikh diumumkan keputusan SPM sejak tahun 2006. Pada setiap tahun, daku melihat air mata - gembira dan duka. Namun bak kata orang tua-tua : sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya. Namun seperti yang sering dilafazkan, SPM bukan pengakhiran perjalanan sebagai seorang pelajar, tetapi hanya satu permulaan. 

Selamat maju jaya kepada semua anak murid yang berjaya dengan cemerlang. Bagi mereka yang berjaya dengan kurang cemerlang, usah risau. Pilihlah jalan yang sesuai dengan pencapaian anda. Bukan semua orang ditakdirkan melalui jalan yang sama untuk berjaya. Yang penting : usaha, doa dan tawakal. Insya-Allah, Allah bersama kalian, guru-guru tetap menyokong kalian.

Akhir kalam, kepada semua pelajar yang telah menyumbangkan Gred Purata Bahasa Melayu SBPIKP tahun ini menjadi 0.38 (terbaik setakat ini), terima kasiih dan tahniah! 

Dipaparkan wajah-wajah pendidik SBPIKP pada saat menerima keputusan : suka dan duka untuk tatapan anda... Apa-apapun, TERIMA KASIH CIKGU!








11 Mac 2012

Hari Kesembilan

Bangun pagi ni rasa segar sikit. Kepala dah macam stabil. Selesema pun makin kurang. Selepas subuh, tak terasa nak tidur lagi. Jadi bolehlah basuh baju yang dah menimbun dalam raga - dah dekat tiga minggu! Mandipun terasa nikmat. Tiba-tiba rasa nak berendam kat sungai. Air paip terasa kurang kenikmatan brbanding air sungai yang menusuk ke dalam badan. Hermmm...tapi kalau sungaipun, sekarang mana boleh mandi. Hujan - air pasti keruh. Kata orang tua-tua "keruh di hulu, keruhlah di muaranya"- oh, tak ada kena-mengena dengan entri ini!

Tapi masih ada yg kurang menyelesakan. Gigi pula terasa menyusuk- gusi sebenarnya. Agaknya selama ini yang menyebabkan demam ialah sakit gigi, tapi terselindung di sebalik selesema. Muka terasa cekang pulak. Cari ubat lg?

Aduh....

08 Mac 2012

Selesema kucing ...

Sudah enam hari. Namun selesema yang dihadiahkan oleh kucing-kucing di Kuching belum lagi kebah. Demam pula sekejap tak ada, banyak kali yang ada. Syukurnya, sakit telinga sudah hilang, dan batuk makin berkurang. Namun mata masih merah. Namun seperti kata salah seorang bekas anak murid, semasa mengucapkan selamat hari lahir - owh, hari lahirku disambut sederhana hari ini : dengan ucapan daripada bekas anak murid dan anak-anak murid di sekolah - : "Allah nak ampunkan dosa la tu :)" . Ermm..insyallah, mudah-mudahan itulah...

07 Mac 2012

MengEOW di SainsKu

Akhirnya hasrat ahli-ahli Lembaga Kepimpinan Pelajar (LKP) untuk ke Sarawak tercapai.Walaupun tidak semua yang dapat ke sana, namun 14 orang mewakili keseluruhan LKP sudah memadai. Selama 4 hari di Sek. Men. Sains Kuching (SainsKu) iaitu antara 29.2 - 3.3 2012. Perjalanan yang menarik.

Sepanjang tiga hari di SainsKu, pelbagai aktiviti yang diikuti. Hari pertama, dengan sambutan yang sungguh baik, kami dibawa bersiar-siar di bandar Kuching. Sempat bergambar bersama kucing- kucing di sepanjang jalan bandar raya Kuching. Pada hari kedua pula ialah hari lawatan di sekitar sekolah dan mengikuti sesi perkongsian pintar dengan SainsKu. Hari kedua sebenarnya lagi menarik, sebab kami berjaya 'meninggalkan pelajar di SainsKu sementara guru-guru membeli-belah di bandar raya Kuching. Maklumlah, guru-guru perempuan sudah mengenal pasti kedai-kedai untuk diborong :). Hari ketiga, kami dibawa menghayati budaya Sarawak di Kg. Budaya dan melihat kucing di Muzium Kucing. Selain menikmati kek lapis Dayang Salehah dan makan malam di medan selera pantai timur kami turut sempat melawat taman orkid. Menarik juga.

Kami terbang ke Pulau Pinang pada jam 9.30 pagi dari LTAK dan sampai di LTAPP pada jam 11.30 pagi. Sampai di i-KUPs pada jam 3.30 petang. Selamat....:)







18 Februari 2012

Lagi..tentang PPSMI


Nampaknya PAGE terus memberikan statistik demi statistik untuk mewajarkan pengekalan PPSMI. Alsan popular mereka kini ialah "majoriti ibu bapa mahukan P&P mata pelajaran di bawah bidang Sains dan Matematik (serta teknikal) dalam bahasa Inggeris". Menurut mereka "kehendak itu perlu dipenuhi" demi menghormati kebebasan ibu bapa memilih sistem pendidikan yang terbaik untuk anak-anak mereka.



Ulasan saya:
  • Sebelum ini PAGE lantang menyatakan kepentingan PPSMI demi memastikan negara terus maju. Namun kini hujah itu tidak lagi digunakan - mungkin kerana sedar bahawa tidak pernah kipas yang dipasang oleh pelajar yang mengikuti sistem pendidikan kebangsaan sebelum ini berputar secara terbalik.

  • PAGE menekankan keprihatinan mereka kepada "pemaksaan MBMBMI" (lihat kenyataan Setiausaha Kehormatnya dalam M-Star 14 Januari 2012) kepada pelajar Tahun 1 & 2. Anehnya mereka bisu semasa pemaksaan P&P dalam Bahasa Inggeris sewaktu diperkenalkan dulu. Bukan sahaja kepada pelajar Tahun 1, bahkan Tingkatan 1, Tingkatan 4, dan Tingkatan 6 Rendah. Kini P&P (bidang) Sains dan Matematik menggunakan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar dengan 'penamatan secara menurun' 
  •  
  • Kebanyakan masyarakat yang kurang berpendidikan tinggi sering melihat isu ini sekadar selapis sahaja. Oleh sebab itu, penjelasan kepada mereka perlu dibuat oleh kedua-dua pihak sebelum dibuat kajan. Kajian pula tidak boleh mengambil demografi bandar sahaja.
  •  
  • Sistem pendidikan bukan bermaksud untuk menjalani dan memenuhi kehendak diri sendiri sahaja. Ia perlu dilihat dari perspektif pembinaan negara dan kehendak memajukan sosial semua pihak. Demi memastikan hasrat dan matlamat Wawasan 2020 untuk "maju dengan acuan sendiri", maka perkara ini perlu dilihat dengan halus. Pendidikan dalam bahasa asing akan menyebabkan wujudnya perasaan rendah diri terhadap bahasa kebangsaan, sedangkan bahasa merupakan antara asas utama penjelmaan jati diri bangsa. Malang sekali jika menjadi maju dalam suasana masyarakat yang tidak mengenali asal usulnya serta memandang 'lekeh' kepada bangsa dan bahasanya sendiri (rujuk masyarakat Cina yang teguh mempertahankan bahasa ibunda dalam isu PPSMI).
  •  
  • Kenyataan bahawa kemajuan sesebuah negara kini bukan lagi dikira daripada ramainya golongan cendekia dan berkelulusan tinggi semata-mata tidak boleh dipandang enteng. Banyak negara mempunyai tenaga kerja berkelulusan luar negara (dan fasih berbahasa Inggeris). Negara yang terus berkembang kini ialah negara yang sentiasa mempunyai inovasi dan kreativiti sendiri. Telah dibuktikan oleh pelbagai penyelidikan yang diiktiraf oleh UNESCO bahawa pendidikan melalui bahasa ibunda penyumbang utama proses kreativiti dan inovasi insan. Kekurangan kreativiti inilah yang menyebabkan ramai pengekor daripada pencipta (termasuk pejuang PPSMI).
  •  
  • Hakikat bahawa penguasaan manusia melalui otak kiri dan kanan sudah terbukti. Ramai yang hanya berupaya dalam satu bahagian otak sahaja, sama ada kiri atau kanan. Ada yang mahir dalam bidang bahasa dan kemanusiaan sedangkan sebahagian lagi mahir dalam bentuk fakta sahaja. Jadi penguasaan bahasa dan matematik / sains tidak wajar dijadikan beban kepada pelajar -pelajar ini. Memandangkan hanya golongan elit bandar sahaja yang menjadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa rasmi mereka di rumah (dan di luar rumah), maka seyogia kita tidak membunuh peminat sains dan matematik yang kurang mahir menguasai bahasa Inggeris. Mereka yang menjadi golongan majoriti perlu diberikan hak untuk belajar dalam bahasa ibunda mereka. Bagaimana hak golongan penutur bahasa Inggeris? Ingat, penduduk Malaysia mempunyai bahasa ibunda masing - masing, yang sudah pasti bukan bahasa Inggeris (kecuali beberapa kerat). Tidak mengakui bahasa ibunda (dengan hanya bertutur dalam bahasa asing - kecuali ketika mencarut) ialah tanda-tanda Wawasan 2020 menjadi waswas selama-lamanya.
  •  
  • Jika anda masih belum berpuas hati : sila ke sekolah antarabangsa yang mengamalkan kurikulum dan sistem yang berbeza!
Saya perhatikan bahawa isu yang dibawa serta 'hujah' yang diberi oleh pendokong PPSMI ini sama sejak mula. Tanda-tanda tidak menerima langsung fakta ilmiah, tetapi menggunakan elemen emosi dan kuasa 'lobi' pilihan raya sahaja. Walaupun GMP tidak begitu mendapat tempat di media, namun saya percaya perjuangan mesti diteruskan. Jika PAGE dibenarkan berhimpun, kenapa tidak GMP?

Sang Pembicara

Tempat ketiga! Memang tak terduga, dengan saingan sengit daripada 15 peserta lain, Alia Ummira binti Radzi, pemidato IKUPS, wakil negeri Ked...