18 Februari 2012

Lagi..tentang PPSMI


Nampaknya PAGE terus memberikan statistik demi statistik untuk mewajarkan pengekalan PPSMI. Alsan popular mereka kini ialah "majoriti ibu bapa mahukan P&P mata pelajaran di bawah bidang Sains dan Matematik (serta teknikal) dalam bahasa Inggeris". Menurut mereka "kehendak itu perlu dipenuhi" demi menghormati kebebasan ibu bapa memilih sistem pendidikan yang terbaik untuk anak-anak mereka.



Ulasan saya:
  • Sebelum ini PAGE lantang menyatakan kepentingan PPSMI demi memastikan negara terus maju. Namun kini hujah itu tidak lagi digunakan - mungkin kerana sedar bahawa tidak pernah kipas yang dipasang oleh pelajar yang mengikuti sistem pendidikan kebangsaan sebelum ini berputar secara terbalik.

  • PAGE menekankan keprihatinan mereka kepada "pemaksaan MBMBMI" (lihat kenyataan Setiausaha Kehormatnya dalam M-Star 14 Januari 2012) kepada pelajar Tahun 1 & 2. Anehnya mereka bisu semasa pemaksaan P&P dalam Bahasa Inggeris sewaktu diperkenalkan dulu. Bukan sahaja kepada pelajar Tahun 1, bahkan Tingkatan 1, Tingkatan 4, dan Tingkatan 6 Rendah. Kini P&P (bidang) Sains dan Matematik menggunakan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar dengan 'penamatan secara menurun' 
  •  
  • Kebanyakan masyarakat yang kurang berpendidikan tinggi sering melihat isu ini sekadar selapis sahaja. Oleh sebab itu, penjelasan kepada mereka perlu dibuat oleh kedua-dua pihak sebelum dibuat kajan. Kajian pula tidak boleh mengambil demografi bandar sahaja.
  •  
  • Sistem pendidikan bukan bermaksud untuk menjalani dan memenuhi kehendak diri sendiri sahaja. Ia perlu dilihat dari perspektif pembinaan negara dan kehendak memajukan sosial semua pihak. Demi memastikan hasrat dan matlamat Wawasan 2020 untuk "maju dengan acuan sendiri", maka perkara ini perlu dilihat dengan halus. Pendidikan dalam bahasa asing akan menyebabkan wujudnya perasaan rendah diri terhadap bahasa kebangsaan, sedangkan bahasa merupakan antara asas utama penjelmaan jati diri bangsa. Malang sekali jika menjadi maju dalam suasana masyarakat yang tidak mengenali asal usulnya serta memandang 'lekeh' kepada bangsa dan bahasanya sendiri (rujuk masyarakat Cina yang teguh mempertahankan bahasa ibunda dalam isu PPSMI).
  •  
  • Kenyataan bahawa kemajuan sesebuah negara kini bukan lagi dikira daripada ramainya golongan cendekia dan berkelulusan tinggi semata-mata tidak boleh dipandang enteng. Banyak negara mempunyai tenaga kerja berkelulusan luar negara (dan fasih berbahasa Inggeris). Negara yang terus berkembang kini ialah negara yang sentiasa mempunyai inovasi dan kreativiti sendiri. Telah dibuktikan oleh pelbagai penyelidikan yang diiktiraf oleh UNESCO bahawa pendidikan melalui bahasa ibunda penyumbang utama proses kreativiti dan inovasi insan. Kekurangan kreativiti inilah yang menyebabkan ramai pengekor daripada pencipta (termasuk pejuang PPSMI).
  •  
  • Hakikat bahawa penguasaan manusia melalui otak kiri dan kanan sudah terbukti. Ramai yang hanya berupaya dalam satu bahagian otak sahaja, sama ada kiri atau kanan. Ada yang mahir dalam bidang bahasa dan kemanusiaan sedangkan sebahagian lagi mahir dalam bentuk fakta sahaja. Jadi penguasaan bahasa dan matematik / sains tidak wajar dijadikan beban kepada pelajar -pelajar ini. Memandangkan hanya golongan elit bandar sahaja yang menjadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa rasmi mereka di rumah (dan di luar rumah), maka seyogia kita tidak membunuh peminat sains dan matematik yang kurang mahir menguasai bahasa Inggeris. Mereka yang menjadi golongan majoriti perlu diberikan hak untuk belajar dalam bahasa ibunda mereka. Bagaimana hak golongan penutur bahasa Inggeris? Ingat, penduduk Malaysia mempunyai bahasa ibunda masing - masing, yang sudah pasti bukan bahasa Inggeris (kecuali beberapa kerat). Tidak mengakui bahasa ibunda (dengan hanya bertutur dalam bahasa asing - kecuali ketika mencarut) ialah tanda-tanda Wawasan 2020 menjadi waswas selama-lamanya.
  •  
  • Jika anda masih belum berpuas hati : sila ke sekolah antarabangsa yang mengamalkan kurikulum dan sistem yang berbeza!
Saya perhatikan bahawa isu yang dibawa serta 'hujah' yang diberi oleh pendokong PPSMI ini sama sejak mula. Tanda-tanda tidak menerima langsung fakta ilmiah, tetapi menggunakan elemen emosi dan kuasa 'lobi' pilihan raya sahaja. Walaupun GMP tidak begitu mendapat tempat di media, namun saya percaya perjuangan mesti diteruskan. Jika PAGE dibenarkan berhimpun, kenapa tidak GMP?

Tiada ulasan:

Soksek Soksek SPM 2023

 Pasukan Academic Support Team (AST) PPD Kubang Pasu kembali turun menggempur calon-calon SPM Kubang Pasu 2023. Tahun ini, pasukan AST yang ...