23 Mac 2013

SPM...berakhir satu penantian!

Alhamdulillah... keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia dah pun selamat diumumkan. Sebetulnya, keputusan tahun ini sedikit merosot berbanding tahun lepas. Walau bagaimanapun tahniah kepada semua anak didik i-KUPs. Bagaimanapun keputusan yang anda peroleh, itulah hasil daripada usaha anda. Mungkin yang berasa tidak berbaloi kerana usaha mereka sebenarnya amat tinggi, namun hasilnya sungguh sedikit. Misalan bagi seorang petani yang menanam padi: menggala, menyemai, menabur, membaja, meracun... semuanya telah dibuat. Pabila berbuah dijaga, dihalau ciak dan dihambat siput dan bena perang. Namun pabila sudah mahu dituai, tiba-tiba hujan turun. Lebat. Tenggelam semua hasil yang sudah terbentang di hadapan mata. Itulah yang Allah kurniakan. Mungkin sudah jemu mendengar - Setiap kejaidan ada hikmahnya! Namun itulah haikaktnya. Sedangkan mereka yang berusaha sedaya mungin juga sukar memperoleh keputusan yang hebat... apatah lagi kepada mereka yang hanya tidur sepanjang P&P di dalam kelas; bersembang pada waktu prep dan berdengkur dalam program Tutor Tutee. Waalhu a'lam!

Bagi yang sering tertanya danbertanya, inilah data-data SPM i-KUPs tahun ini:

Kelulusan : 99.46%
Gred Purata Sekolah : 2.15
Bilangan Semua A : 19
Bilangan Semua A+ : 0
Subjek Semua A : Pendidikan al-Quran dan Al-Sunnah
Ranking Daerah : No. 3
Ranking Negeri  : No. 4

Tahniah kepada semua pelajar, tahniah kepada semua guru yang telah bertungkus-lumus menjalankan program. Namun sudah pasti kita semua sedar bahawa; manusia hanya merancang, Allah yang menentukan!

Sedikit gambar di sebalik tabir untuk tatapan semua!

Pengumuman keputusan

Alamak....!

Kosong.....
Pembawa keputusan dari bilik pengetua...tetap seronok!


kenapa...ya??
Tak apa... kita akan atur startegi baharu untuk tahun ini!

Panjangnyaaa....
Terkejut?
Pelajar Semua A SPM 2012

21 Mac 2013

menelan jadam


merasai getir yang memenuhi
hati lidah dan rasa
kelu untuk berbicara. namun
dalam senyap jiwa tertawa
kerana, katanya : sungguh
tiada penawar yang lebih mujarab
daripada
jadam!

13 Mac 2013

Lari Dari Syurga - Pemberontak Muda?

Saya membaca koleksi cerpen (itu yang ditulis pada muka depan buku ini) Lari Dari Syurga yang dihadiahkan oleh salah seorang penulisnya, Pn. Siti Hajar. Catatan ini, walau bagaimanapun tidaklah mengikut hukum dan rumus kesusasteraan, apatah lagi jika dikatakan sebagai kritikan. Tulisan ini lebih menyorot karya-karya dalam koleksi tersebut dari sudut pandang pembaca 'tua'. 'Pembaca tua' kerana saya melihat hasil nukilan penulis 'muda' yang berkobar-kobar di dalamnya.

Seperti tajuk entri kali ini, saya rumuskan lebih 89% karya dalam koleksi ini ialah ekspresi pemberontakan 'orang muda'. Walaupun kebanyakan pemberontakan ini, khususnya kepada agama dan politik telah diluahkan dengan lebih halus dan sinis dalam tahun-tahun 70-an, namun koleksi ini boleh memberikan sedikit gambaran terhadap jiwa orang muda abad ke-21. Cerpen Menteri Bernama Barua sebagi contoh, jelas menampakkan 'kebaruaan' penulisnya apabila dengan lantang menyanggah realiti sosial kini. Canggahan itu sememangnya menarik sekiranya diadun dengan lebih berseni, kerana orang membaca karya untuk melihat aspek keindahannya. Jarang sekali orang membaca karya sastera untuk 'menikmati' suara-suara marah ala penulisan diari peribadi. Cerpen Demi Sebuah Janji yang mengadunkan ketidakpuasan hati terhadap dunia yang semakin kotor ini juga tampak klise dengan isu dan gaya penulisan yang kurang matang. Masalah LGBT yang terpapar dalam Lari Jangan Berhenti juga nampak hambar dan jelas kelihatan sekadar luahan protes anak muda. Mungkin penulis-penulis muda ini perlu bermula di arena yang lebih sihat berbanding dengan menulis secar semberono.

Walaupun begitu, daripada koleksi yang sama, penulisan Khalil Zaini (Dilarikan Cahaya...Entah), Hajar Zainal (Terpedaya Tercalar Terbakar) dan Ahmad Shukri (Perisai Halimunan Tasha) menampakkan hasil penulisan yang 'agak' baik. Walaupun selesai membaca Perisai Halimunan Tasha, terasa seolah-olah membaca karya buah tangan pertandingan penulisan cerpen fiksyen sains, namun tidak salah untuk bermula dengan karya sastera fiksyen, berbanding dengan karya picisan!

'Pemberontakan' anak muda dalam karya-karya Koleksi Cerpen "Lari Dari Syurga" ini memang ketara. Pemberontakan jiwa tentang sosial, politik, agama malah terhadap diri sendiri sekiranya digarap dengan lebih 'berilmu dan berakhlak'. Mungkin mereka ini tidak hanya boleh mengharapkan idea dan perasaan sahaja, tetapi perlu sedikit rajin menghadiri 'kuliah sastera' agar lebih suara mereka bukan sahaja didengari, bahkan kualiti sebagai penulisan insani lebih berjaya.

Cuma...sedikit ragu-ragu dengan "Sujud dua kiblat tak salah kerana Dia yang memberikan pilihan itu" (Sujud Dua Kiblat). Oh... pemahaman bahasa saya masih dangkal!

08 Mac 2013

Mim Enam Puluh Tujuh


 

MIM ENAM PULUH TUJUH
(mengenang helaian usia yang semakin menipis)

sudah terlalu lusuh usiaku
roda waktu yang berputar
dimakan karat besi
mataku kabur pada kabus membalut
gunung pengalaman
cinta kekasih ragu dan gundah
aku sendiri
memagut masa-masa sepi dan pedih
air mata yang menderas
pada pipi yang mulai kendur
keindahan tubuh-tubuh ranum
di padang ingin
sudah berlalu merembang senja
menggiring cemeti sayidina ali
ya Ilahi ya Rabbuljalil
dapatkah aku kembali tersenyum
bila melihat mawar sa'di di taman hayat
bolehkah aku mengecap nikmat
kecapi burung-burung syurgawi
antara nun dan mim
senyum tagihan cinta dan
waktu untuk bersama
anak-anak yang mulai hilang mesra
keanakannya, airmata atau beberan
Ilahi, aku mencari-Mu
dalam ayat-ayat suci-Mu
di tengah kehilangan
dan kejip obor umur
kian mengecil
adakah pingai dahulu
masih mengenal suaraku?
adakah sungai dingin dahulu
masih dapat mencium bau tubuhku?
bulan sabit di langit sepi sang salik
masihkah sahabat maklumi
kias iktibar perlakuan
gerak bibir kunfayakun
album usia yang robek
cinta insani yang dikebiri
tak betah tak bertanda
selain nafsu diri

(petikan sebahagian daripada sajak : Mim Enam Puluh Tujuh oleh
KEMALA, DBP 1999: 88-89)

03 Mac 2013

Matlamat & Kejayaan

Matlamat tanpa deadline adalah tidak lengkap. Apa jua matlamat yang ditetapkan, tetapkan sama deadline untuk mencapainya. Bila kah deadline yang terbaik? 6 bulan? 1 tahun? 3 tahun? 5 tahun? Atau 10 tahun?
Kebanyakan orang tidak menetapkan deadline untuk menetapkan matlamat oleh kerana takut, matlamat tersebut tidak dapat tercapai sebelum deadline! Sekiranya tidak tercapai, ia akan mengurangkan motivasi sendiri… oleh itu, mereka biarkan tarikh untuk mencapai matlamat tersebut terbuka- bila-bila masa sahaja!

Itu adalah pemikiran yang salah. Dengan menetapkan deadline untuk matlamat anda, anda memberi satu sasaran yang jitu. Apa akan terjadi sekiranya anda tidak berjaya mencapai matlamat sebelum tarikh deadline? Senang sahaja… berikan satu tarikh deadline yang baru! Ia hanya akan mengajar anda untuk lebih berusaha dan lebih realistik dalam mencapai matlamat. :) 

dipetik daripada  http://www.irfankhairi.com/blog/motivasi/tetapkan-deadline-matlamat-anda
 

19 Januari 2013

Selamat Bertugas...

Seperti lazimnya, pada awal tahun antara yang paling sibuk ialah para pengawas. Jadi bagi menghargai dan menguar-uarkan 'kewujudan' mereka secara rasmi, maka majlis pelantikan telah diadakan. Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan Ahli Lembaga Kepimpinan Pelajar SBPI Kubang Pasu 2013 telah disempurnakan pada 15 Januari 2013 oleh YBhg. Tn. Hj Halim bin Mansor, Pegawai Pelajaran Daerah Kubang Pasu. Majlis yang sederhana ini telah menyaksikan seramai 34 orang pengawas telah dilantik, yang terdiri daripada 24 orang pengawas tingkatan 5 dan 10 orang pengawas tingkatan 4. Mereka diketuai oleh 5 orang ahli Majlis Pimpinan Tertinggi, iaitu :
  1. Abdul Azim Akmal bin Ismail sebagai Ketua Pelajar
  2. Izyan Adlina bt Zainuddin sebagai Timbalan Ketua Pelajar 1
  3. Mohd Idraki Eiyman bin Mohd Zamri sebagai Timbalan Ketua Pelajar 2
  4. Mohd Lutfi bin Roslan sebagai Penolong Ketua Pelajar (Putera)
  5. Anisah bt Abd Rahim sebagai Penolong Ketua Pelajar (Puteri)
Semoga mereka dapat melaksanakan tugas yang telah diamanahkan dengan penuh tulus, jujur dan bertanggungjawab sepertimana yang dikrarkan oleh mereka. Selamat bertugas!




18 Januari 2013

Selamat Tahun [yang dah tak berapa] Baharu!

Rasanya tidaklah terlalu lewat untuk mengucapkan Selamat Tahun Baharu 2013 (klise - tapi nak tulis juga begitu :-D). Pada awal tahun baru-baru ini, tidak berapa berkesempatan untuk menulis blog. Selepas sibuk menyiapkan tugas untuk negara, disambung pula dengan kesibukan berpindah rumah. Alhamdulillah, selepas dua minggu melayari tahun baharu 2013, sekarang agak tenteram. Walaupun rumah yang didiami sekarang belum siap sepenuhnya, namun sudah makin serasi. Cerita bab rumah ni - kemudianlah.

Tahun 2013 - alhamdulillah, kiamat tak jadi pada 21-12-12 -menjanjikan pelbagai cabaran. Biasalah, kehidupan tanpa cabaran ialah kematian yang bermula awal. Sebagai pendidik, cabaran saban tahun bukan sahaja untuk memastikan anak-anak didik berjaya dengan cemerlang dalam peperiksaan; namun yang utama memastikan mereka berjaya menjadi "orang yang budiman". Inilah matlamat pendidikan bahasa yang sering saya ungkapkan pada awal-awal perjumpaan dengan anak-anak didik di dalam kelas. Bagi mereka yang sudah melewati alam persekolahan, diharapkan mereka yang pernah terdidik di dalam kelas saya, mengingat kembali matlamat itu. Saya pernah terdengar bicarawara di sebuah radio tentang matlamat sebagai guru. Kata ahli panel tersebut, setiap guru sepatutnya menanamkan di dalam jiwanya satu matlamat : "aku mahu masuk syurga dengan tiket sebagai guru". Saya berharap tiket "budiman" yang sering saya terapkan di dalam kelas itu menjadi salah satu tiket untuk saya ke syurga. Doa-doakanlah...anak-anakku!

Tugas-tugas lain -selain di dalam kelas- macam biasa. Bertambah dan bertimbun-timbun. Seperti yang pernah saya lafazkan kepada seorang anak murid (kini - mantan), ada dua pelaksanaan untuk ini : sebagai tanggungjawab dan sebagai pengorbanan. Insya-Allah, saya akan laksanakan tugas yang diamanahkan, sama ada sebagai tanggungjawab atau sebagai pengorbanan.

Apa-apaun, cabaran 2013 bukan sahaja pada kerjaya. Banyak lagi yang perlu diperkaya - hati, jiwa dan minda. Semoga Allah memberkati perjalanan hidup ini, dan menolong hamba yang lemah ini. Moga.moga... amin Ya Allah!

Sang Pembicara

Tempat ketiga! Memang tak terduga, dengan saingan sengit daripada 15 peserta lain, Alia Ummira binti Radzi, pemidato IKUPS, wakil negeri Ked...