01 April 2009

Calon SPM jawab Sains, Matematik dalam Bahasa Inggeris memberangsangkan

12/03/2009 3:27pm

PUTRAJAYA 12 Mac — Lebih ramai calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2008 menjawab kertas soalan mata pelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris dan ini menunjukkan perkembangan yang memberangsangkan, kata Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Alimuddin Mohd Dom.

Beliau berkata malah ramai calon SPM yang menjawab dalam Bahasa Inggeris bagi soalan-soalan subjektif dalam kedua-dua mata pelajaran itu.

“Misalnya mata pelajaran Matematik Tambahan kertas satu daripada 178,751 pelajar yang mengambil kertas itu seramai 89.1 peratus daripadanya menjawab dalam Bahasa Inggeris berbanding 4.7 peratus dalam Bahasa Malaysia,” katanya kepada pemberita selepas mengumumkan keputusan peperiksaan SPM dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2008 di sini hari ini.

Selain itu daripada 183,723 pelajar yang mengambil mata pelajaran Matematik Tambahan kertas 2, 86.2 peratus menjawab dalam Bahasa Inggeris berbanding 6.9 peratus dalam Bahasa Malaysia.

Alimuddin berkata peratus yang tinggi juga dicatatkan bagi mata pelajaran Biologi kertas dua dan tiga; Kimia kertas dua dan tiga serta Matematik kertas dua. - Bernama

Keputusan SPM

10,080 calon SPM dapat 10A

12/03/2009 11:24am

PUTRAJAYA 12 Mac – Seramai 10,080 daripada keseluruhan 442,936 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2008 berjaya memperoleh 10A dengan seramai 347,443 atau 90.8 peratus calon mendapat sijil SPM berbanding 91.1 peratus pada tahun 2007.

Seramai 5,863 calon pula berjaya memperoleh 9A manakala 5,909 calon memperoleh 8A.
Selain itu, seramai 6,277 calon atau 1.6 peratus berjaya dengan cemerlang memperoleh gred A bagi semua mata pelajaran yang diduduki berbanding 5,060 (1.31 peratus) pada tahun 2007. Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd. Dom ketika mengumumkan keputusan peperiksaan itu berkata, pada keseluruhannya pencapaian calon SPM adalah membanggakan dan melebihi daripada pencapaian tahun sebelumnya.

“Pencapaian mereka meningkat daripada segi peratusan bilangan memperoleh sijil, mendapat semua A dan lulus semua mata pelajaran yang diduduki,'' katanya di sini hari ini. - Utusan

19 Mac 2009

Perhimputan 100,000 Umat


Akhirnya GMP menunaikan janji mereka untuk mengadakan perhimpunan besar-besaran bagi menunjukkan bantahan terhadap PPSMI. Walaupun jumlah yang hadir dianggar antara 5,000 hingga 6,000 orang sahaja, namun sesungguhnya perhimpunan ini memberi makna yang besar dalam gerakan penentangan terhadap PPSMI. Tindakan ini telah membuka mata sesetengah pemimpin yang sebelum ini mungkin hanya dikhayalkan dengan kenyataan-kenyataan tidak benar tentang penerimaan PPSMI. Dalam reaksi segera, Perdana Menteri mahu keputusan sama ada PPSMI diteruskana atu tidak diberi segera. Namun seperti biasa, Menteri Pendidikan berpendapat perbhimpunan ini "mempunyai niat tersembunyi" atau "digerakkan oleh politik pembangkang". Walau bagaimanapun beliau akbirnya menyatakan "GMP dipergunakan oleh pembangkang". Apa-apapun alasannya, diharapkan perhimpunan ini menggerakkan minda dan hati seluruh bangsa Malaysia agar berpijak di bumi Malaysia. Ingatlah, di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung!

17 Februari 2009

Akhirnya... PPSMI

Setelah bertahun-tahun menunggu, merayu, meratap, akhirnya GAPENA menunaikan hasrat bangsa Melayu supaya berlaku lebih 'keras' atas isu PPSMI. Beberapa hari lepas, GAPENA telah membuat laporan polis terhadap Menteri Pendidikan kerana pelaksanaan PPSMI melanggar peruntukan perlembagaan yang menyebut bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi, bahasa kebangsaan dan bahasa pengantar utama pendidikan di negara ini.
DAlam reaksi segera, Datuk Seri Hishamuddin menyelar GAPENA. Seperti biasa, ungkapan "ada niat / motif lain" dicanangkan. Mempertikaikan niat dan motif yang sudah jelas menjadi seakan satu bentuk 'pelarian' bagi pihak-pihak terbabit sebagai "jawapan terdesak".
Sesungguhnya, PPSMI sudah makin tidak diterima oleh semua bangsa yang bermaruah di negara ini. Sekarang bukan masa berdolak - dalik. Bukan masa mengkaji, tetapi membuat keputusan yang betul dan tepat : Mansuhkan PPSMI!

09 Januari 2009

PPSMI lagi... ketegaqnya!!!


Saya baharu menonton rancangan ‘Point of View’ yang tersiar di saluran ntv7 (8.30 mlm 9 Januari 2009). Tetamu undangan dalam bicarawara itu ialah Presiden PAGE dan Profesor Emiritus dari UPSI. Isu yang dibincangkan ialah kewajaran penggunaan bahasa Inggeris dalam pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik.


PAGE tegas mempertahankan kewajaran menerusiakn PPSMI atas dua alasan utama:-

1. Bahasa Sains dan Matematik di seluruh dunia ialah BI. Jadi mempelajarinya di sekolah memungkinkan mereka lebih mudah mendapat ilmu dan maklumat untuk S&T kerana sumber ilmu itu dapat diakses dengan mudah.
2. Proses pembelajaran bahasa lebih cepat diterima oleh anak-anak semasa mereka berada dalam usia muda, iaitu seawal 5 tahun.

Jawapan saya:

1. Jika kita sedar bahawa bahasa Inggeris digunakan oleh majoriti masyarakat dunia, adakah kita ingin memangsakan sains dan matematik? Jika tangan yang sakit, kenapa kaki yang dibalut? Hantarlah guru-guru yang terbaik, yang memperoleh pendidikan di dalam dan luar negara dalam bidang TESL atau ESL mengajar bahasa Inggeris di seluruh sekolah di ceruk rantau negara ini. Jika dilihat secara jujur, berapa ramaikah guru-guru opsyen TESL dihantar ke sekolah-sekolah luar bandar?


2. Tidak ada seorangpun yang berfikiran waras akan mengatakan sains dan matematik dapat meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris pelajar, khususnya dalam komunikasi. Yang dipentingkan dalam Sains dan Matematik ialah konsep dan istilah khusus dalam bidangnya. Malangnya, tidak seorangpun manusia biasa akan bercakap tentang ganda dua dan respirasi semasa berbual di warung atau di bilik mesyuarat!

3. Usia muda memang lebih mudah untuk menguasai bahasa. Jadi, ajarkanlah bahasa Inggeris dengan cara dan kaedah yang lebih baik pada usia tersebut!

PPSMI memang tidak memberi sebarang masalah kepada anda jika bahasa pertuturan anda ialah bahasa Inggeris. Namun seandainya anda berada di kampung saya (4 km dari bandar raya Kuala Terengganu), anda akan lihat anak-anak ini mengira: dua plus tiga equal lima!

31 Disember 2008

PPSMI Fasa Terakhir

Ada tiga perkara yang dapat saya simpulkan daripada bicarawara "Isu" di RTM1malam tadi (30 Disember 2008):-

1. Matlamat PPSMI bukan untuk menguasai bahasa Inggeris, tetapi untuk penguasaan ilmu;
2. Pelaksanaan PPSMI yang tidak berkesan, khususnya dalam merapatkan jurang antara pelajar Bandar dan luar Bandar; dan
3. Kesan pelaksanaan PPSMI ke atas jati diri jati diri “bangsa Malaysia”.

Saya ulas satu persatu :-

Matlamat PPSMI bukan untuk menguasai bahasa Inggeris, tetapi untuk penguasaan ilmu.

Nampaknya Kementerian Pelajaran Malaysia telahpun meminda tujuan asal PPSMI diperkenalkan. Pada peringkat awal pelaksanaan PPSMI dahulu, isu yang sering diuar-uarkan ialah pentingnya PPSMI dalam meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris pelajar. Hal ini demikian kerana n era globalisasi menuntut pelajar menguasai bahasa Inggeris. Yang lebih utama, pelopor PPSMI, Tun Dr. Mahathir juga menjelaskan bahasa tujuannya adalah utnuk menguasai bahasa Inggeris. Jika dilihat daripada sejarahnya, kebimbangan masyarakat terhadap penguasaan bahasa Inggeris oleh para pelajar dalam PMR dan SPMlah yang mencetuiskan idea ini. Bahkan ada yang lebih ekstrem, misalnya oleh Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) pada awal tahun 1990-an yang mencadangakan agar sekolah aliran Inggeris kembali diwujudkan. Nampaknya, dipertengahan jalan pelaksanaan PPSMI, matlamatnya juga sudah berubah. Maka tidak hairanlah jika Datuk Alimuddin, Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia menjelaskan tujuan PPSMI bukan untuk menguasai bahasa Inggeris.

Persoalannya : adakah penguasaan ilmu dapat ditingkatkan dengan hanya mengetahui istilah-istilah sains, matematik dan teknikal dalam bahasa Inggeris? Bukankah jika membaca makalah dan buku ilmiah, keseluruhannya ditulis dalam bahasa Inggeris, bukannya istilah sahaja? Kalau begitu, jika buku dalam bahasa Jepun, diselitkan dengan istilah biologi dalam bahasa Inggeris, maka pelajar kita dapat menguasainya?

Pelaksanaan PPSMI yang tidak berkesan, khususnya dalam merapatkan jurang antara pelajar bandar dan luar bandar.

Merujuk kepada pencapaian PMR, pencapaian pelajar luar bandar meningkat sekali ganda dalam Sains dan enam kali ganda dalam Matematik. Atas fakta tersebut, KPPM berhujah bahawa dengan pengenalan PPSMI, jurang perbezaan antara bandar dan luar bandar semakin kecil. Atas hal yang sama juga, Datuk Ali Hasan menekankan pelonggokan prasarana dan guru-guru yang cekap, mahir dan lengkap hanya di kawasan bandar.

Persoalannya : Tidak adakah sesiapa melihat bahawa jurang perbezaan antara pelajar aliran sastera dengan sains? Adilkan kepada pelajar aliran sastera (bermula daripada tingkatan 4) hanya belajar bahasa Inggeris, Sains, dan matematik Moden dalam bahasa Inggeris, sedangkan pelajar aliran sains belajar dalam bahasa Inggeris bagi mata pelajaran Bahasa Inggeris, Matematik, English for Science and Technology (EST), Biologi, Kimia dan Fizik. Akan wujudlah nanti dwisistem dalam pendidikan kebangsaan, sedangkan sekarangpun sudah ada dwi sistemnya apabila wujud pendidikan kebangsaan dan jenis kebangsaan!

Persoalan juga : Sekiranya jurang fizikal dan guru antara bandar dan luar bandar telah mengecil, maka adakah PPSMI wajar diteruskan? Saya kurang bersetuju dengan alasan penentangan seperti ini.

Kesan pelaksanaan PPSMI ke atas jati diri jati diri “bangsa Malaysia”.


Pelaksanaan PPSMI akan menyebabkan citra bangsa Malaysia akan hilang. Identiti dan jati diri bangsa Malaysia akan terhakis. Bahkan ketakutan terhadap ketinggalan dalam arus globalisasi telah menyebabkan kesan buruk globalisasi lebih cepat menimpa. Apabila globalisasi “menelan” jati diri bangsa dan negara di dunia apabila negara yang lebih kuat ekonomi, budaya dan politiknya berjaya menelan negara yang lebih kerdil.

Sebenarnya masyarakat bukan menghadapi globalisasi, tetapi Amerikanisasi, iaitu menerima budaya dan ideologi Amerika dalam negara ini. Hal ini jelas dengan pelaksanaan PPSMI. PPSMI telah menjerat minda beberapa kerat masyarakat kita, tetapi yang berkuasa. Dengan kuasa mereka, dipaksanakan PPSMI ke atas seluruh pelajar sekolah di Malaysia. Apabila protes terjadi, mereka menggunakan alasan sesuatu dasar tidak boleh diputuskan dengan cepat tanpa melihat pelbagai kesan kepada pelajar dan sistem pendidikan. Ironinya, pelaksanaan PPSMI dijalankan tanpa kajian yang terperinci dan menyeluruh.

Penentangan masyarakat terhadap PPSMI bukan sahaja disebabkan oleh tujuan dan matlamatnya yang songsang, akan tetapi yang lebih utama, PPSMI mengkhianati perjuangan nenek moyang kita mempertahankan negara ini daripada penjajahan. Selepas 51 tahun merdeka, kita dengan rela hati membiarkan diri dijajah kembali. Penjajahan bentuk baru, atas nama “globalisasi” telah menyebabkan kita tersungkur di depan makam pejuang yang bermandi darah demi mempertahankan maruah bangsa dan negara! Kita sanggup kehilangan identiti dan jati demi atas nama “globalisasi”. Aneh sungguh!

14 Disember 2008

Bangsa Malaysia : Mitos?

Sejak akhir-akhir ini, slogan “bangsa Malaysia” semakin popular diperdebatkan, khususnya oleh ahli-ahli politik. Saya berasa perbincangan tentang bangsa Malaysia memang wajar dialu-alukan, bahkan patut diperbanyakkan. Cuma, dalam keghairahan membincangkan tentang bangsa Malaysia ini, semua pihak tidak seharusnya terpesong daripada fokus perbincangan yang benar, adil dan objektif.

Bangsa Malaysia tidak wujud secara semula jadi. Bahkan sehingga kini, selepas 51 tahun mencapai kemerdekaan, kewujudan bangsa Malaysia masih samar-samar. Semasa mengisi borang permohonan atau butiran peribadi dan seumpamanya, tiada sesiapapun yang akan mengisi perkataan “Malaysia” pada ruangan “bangsa”. Tidak hairanlah perkara ini terus berlaku kerana sesungguhnya konsep bangsa Malaysia itu sendiri terlalu kabur bagi majoriti rakyat Malaysia. Persoalannya, apakah bangsa Malaysia?

Dalam Perlembagaan Persekutuan, tidak ada sepatahpun frasa yang merujuk rakyat negara ini ialah bangsa Malaysia. Yang ada hanyalah istilah “Melayu” yang diterangkan secara panjang lebar takrif, hak dan keistimewaannya (lihat Perlembagaan Persekutuan Perkara 161 dan 162, serta lain-lain yang berkaitan). Bangsa Malaysia hanya wujud sebagai satu slogan politik. Oleh sebab itulah kewujudannya terus – terusan menjadi agenda politik demi mencari keuntungan politik semata-mata.

Seperti yang dinyatakan oleh Dato’ A. Aziz Deraman, budayawan dan mantan Ketua Pengarah DBP Malaysia(dalam Dewan Budaya, Ogos 2008) bahawa :

“bangsa Malaysia tidak akan wujud selagi rakyatnya tidak berpegang kepada nilai-nilai bangsa yang sama berkongsi segala sistem dan perlambangan nasional yang merentasi batas suku kaum dan suku bangsa. Untuk itulah maka dasar-dasar kebangsaan diperkenalkan. Kadang-kadang rakyat melebihkan tuntutan kepentingan kaum sendiri atas tujuan politik berbanding dengan gerakan bagi memartabatkan hak-hak negara. Perjuangan politik tanpa mengutamakan cita-cita kebangsaan atau kenegaraan hanya akan melebarkan jurang perkauman, bukannya aspirasi kenegaraan dan negara bangsa”

Masalahnya sekarang semakin ramai ahli politik yang menonjolkan kepentingan kaum, kononnya demi mencapai kewujudan bangsa Malaysia. Anehnya, kepentingan yang ditonjolkan itu tidak sedikitpun mrlambangkan cita-cita dan hasrat menzahirkan satu indentiti nasional. Helah bahawa multibangsa dan multibudaya ialah identiti nasional sesungguhnya amat janggal kerana tiada satupun bangsa di dunia yang mempunyai lima, enam bahasa dan budaya yang sama taraf dan sama kedudukannya. Maka, akan terhasilkan bangsa Malaysia yang digembar-gemburkan itu? Fikir-fikirkanlah!

Sang Pembicara

Tempat ketiga! Memang tak terduga, dengan saingan sengit daripada 15 peserta lain, Alia Ummira binti Radzi, pemidato IKUPS, wakil negeri Ked...