14 Disember 2008

AUKU dan DSAI

Menarik juga apabila menonton “Parlimen Hari Ini” di RTM 1 pada 11 Disember lepas. Isu yang paling saya suka ialah tentang pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU). Bukan tentang isi perbahasan sangat, tetapi lebih kepada seorang personalia yang pernah menjawat jawatan Menteri Pendidikan satu ketika dahulu.

Ketika membahaskan usul tersebut, Ketua Pembangkan, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, mantan Menteri Pelajaran membidas bahawa antara punca prestasi universiti – universiti Malaysia kurang menyerlah adalah kerana sekatan yang terdapat dalam AUKU. Saya berasa, saya perlu bersetuju dengan telahan beliau.

Walau bagaimanapun, saya berasa sedikit ragu-ragu terhadap beliau sendiri. Hal ini demikian kerana semasa menjawat jawatan Menteri Pendidikan (pada waktu itu saya masih bergelar mahasiswa) beliau dengan lantang “mencabar” mahasiswa dengan katanya (mungkin cakap ajuk ini tidak 100% sama dengan yang asal, tetapi maknanya tetap sama) “Tunjukkan kepada saya, mana satu dalam AUKU ini yang mengongkong mahasiswa”!

Saya sesungguhnya amat percaya manusia akan sentiasa berubah. Sepertimana Dato’ Seri Anwar Ibrahim berubah daripada seorang mahasiswa yang membela rakyat (dalam peristiwa Demonstrasi Baling) kepada menteri yang sentiasa “mencabar” mahasiswa (sekali gus mencabar idealisme beliau sebelum itu), dan seterusnya “kembali” menjadi “suara rakyat” selepas lebih kurang 17 tahun sentiasa menidakkan suara marhaen!

Selamat kembali Dato’ Seri!

02 Disember 2008

Dato’ Mukhriz Mahathir, Exco Pemuda UMNO Malaysia merangkap Ahli Parlimen Jerlun mencadangkan sistem pendidikan sekolah rendah dijalankan hanya menerusi sistem sekolah kebangsaan. Menurut beliau, pelajar-pelajar sekolah rendah sepatutnya mengikuti sistem pendidikan yang sama, iaitu sekolah kebangsaan dengan menggunakan bahasa pengantar yang sama, bahasa Melayu. Walau bagaimanapun, sebagai anak kepada pencetus PPSMI, beliau berfahaman sama dengan bapanya – Tun Mahathir Mohamad, bahawa mata pelajaran Sains dan Matematik hendaklah menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar.

[Isu PPSMI akan diulas kemudian]


Secara dasarnya, apa yang diperkatakan oleh Dato’ Mukhriz itu menepati falsafah dan matlamat Penyata Razak yang menjadi induk pembentukan sistem pendidikan kebangsaan Malaysia moden. Tujuan akhir pendidikan, menurut Penyata Razak ialah “untuk menyatupadukan semua budak-budak di dalam Tanah Melayu [Malaysia]”. Jadi, saya menyokong penuh sekiranya sekolah satu aliran, iaitu aliran kebangsaan sahaja diwujudkan di Malaysia.

Hal ini walau bagaimanapun tidaklah bermaksud pendidikan bahasa asing dan bahasa ibunda dipinggirkan. Seperti bahasa Iban dan bahasa Kadazan di Sarawak dan Sabah, bahasa-bahasa Tamil, Punjabi, Mandarin, Siam dan bahasa-bahasa sukuan yang lain perlu diajar sebagai satu mata pelajaran di peringkat sekolah. Jadi, seperti yang digariskan oleh UNESCO, hak mempelajari bahasa ibunda (menurut mereka hanya 3 tahun sahaja) terjamin, selari dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan Malaysia.

Memang nanti akan ditentang oleh pelbagai pihak cadangan Dato’ Mukhriz tersebut, malah oleh orang-orang Melayu sendiri. Namun sekiranya kita benar-benar mempunyai rasa cinta dan bangga dengan Malaysia, cadangan ini buknalh sesuatu yang aneh. Di Singapura, Thailan dan Indonesia, tidak pernah wujud sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil. Begitu juga di Amerika Syarikat dan United Kingdom. Malah, di India dan China yang mempunyai pelbagai suku kaum juga, bahasa pengantar di sekolah ialah bahasa Inggeris (India) dan bahasa Mandarin (China). Mungkin Malaysialah satu-satunya negara yang membenarkan dwisistem dalam pendidikan berlaku dan diberi bantuan pula oleh kerajaan (lihat Belanjawan 2009 – RM 50 juta diperuntukkan kepada setiap aliran sekolah – sekolah jenis kebangsaan Cina, Tamil dan sekolah Missionary).

Jika kita imbas kembali peristiwa seorang wanita keturunan India warganegara Malaysia ditahan oleh imigresen kerana disyakki pendatang asing dari India pada awal tahun ini, maka cadangan kali ini sungguh perlu dilaksanakan. Bayangkan, lahir di Malaysia dan sudah 21 tahun hidup di negara ini, tetapi tidak dapat bertutur dalam bahasa kebangsaan, bahasa rasmi Malaysia – Bahasa Melayu! Sungguh memualkan. Jadi salah siapa kalau dia ditangkap dan dianggap sebagawai pendatang tanpa izin? Pekerja Bangladesh yang baru tiga bulan berada di Malaysiapun sudah boleh bertutur lancar dalam bahasa Melayu, rakyat Malaysia 21 tahun hidup di bawah payung Seri paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, tidak dapat bertutur sepatah haram dalam bahasa kebangsaannya!

Tuntasnya, cadangan ini perlu diambil serius oleh semua pihak tanpa mengira fahaman politik dan parti.

16 November 2008

UPSR & PPSMI

Semasa mengumumkan keputusan UPSR, Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, DAtuk Alimuddin Mohd Dom menyatakan bahawa tiada peningkatan ketara mahupun penuruanan ketara prestasi murid. Hal ini merujuk khusus kepada subjek Sains dan Matematik dalam mengaplikasikan PPSMI. Jadi, ujarnya, ini menunjukkan bahawa PPSMI tidak gagal. Benarkah?

Saya ingin menyatakan bahawa berjaya atau gagalnya sesebuah projekl atau gagasan bergantung kepada kejasyaan terhadap objektifnya. Objektif PPSMI adalah untuk meningkatkan penguasaan pelajar dalam Bahasa Inggeris. Itulah yang dicanang-canangkan oleh mantan PM, Tun Dr Mahathir ketika memperkenalkan PPSMI (objektif ini kemudian ditambah dengan "untuk memudahkan pelajar memahami istilah IT dan sains serta teknologi" selepas mendapat maklum balas negatif dan hujah ilmiah para ilmuwan dan bahasawan).

JIka dilihat daripada pencapaian pelajar dalam UPSR, peningkatan bahasa Inggeris hanya 2%, iaitu daripada 21% (2002 - 2007) kepada 23% pada tahun ini. Jadi adakah peningkatan 2% itu sudah menjadikan obejktif PPSMI tercapai? Secara rasionalnya, kaslau dalam P&P, definisi objektif tercapai itu mestilah 100%, bukannnya 23%!

Sekarang, cuba jernihkan minda dan fikirkan sedalam-dalamnya, adakah benar PPSMI berjaya memperkasakan golongan pelajar kita? Jangan mendengar guruh di langit, air di tempayan dicurahkan!

06 November 2008

Bahasa KIta, Jiwa Kita

Semua orang akan marah jika dipersoalkan ketaatsetiaan mereka kepada negara ini. Ramai yang menjerit : Kami mahu bangsa Malaysia yang bersatu! Atas jeritan tersebut jugalah, Penyata Razak mengesyorkan pendidikan bersifat kebangsaan yang matlamat akhirnya adalah untuk "menyatupadukan budak-budak di seluruh Tanah Melayu".

Kini slogan bangsa Malaysia semakin lantang. Cuma masalahnya, sejauh manakah kefahaman mereka terhadap konsep bangsa Malaysia? Sewajarnya bahasa Melayu (Malaysia) menjadi teras kepada kewujudan bangsa Malaysia. Sebagai bahasa kebangsaan., kedudukannya mestilah lebih tinggi, lebih baik, dan lebih kukuh berbanding bahasa-bahasa sukuan.

Lantas, rasional yang diberikan oleh kerajaan Pulau Pinang untuk menyamatarafkan bahasa kebangsaan dengan bahasa sukuan, amat tidak rasional pada pandangan saya.

Bahasa Citra Bangsa!

25 Oktober 2008

Visi baharu SBPIKP (arkib)

Visi baharu SBPIKP

Bengkel Pembinaan Pelan Pendidikan SBP peringkat SBPI Kubang Pasu diadakan di EDC, UUM pada hari Sabtu lepas. Di sana terciptanya visi baharu SBPIKP setelah visi pertama hampir sempurna. Visi baharu – “SBPI Kubang Pasu menjana insan syumul menjelang 2015 ke arah menzahirkan pemimpin bertaraf dunia”. Tercapaikah? Usaha tangga kejayaan!

15 Oktober 2008

Tulisan Jawi & Bahasa Melayu



Baru-baru ini heboh satu negara berceritakan YB ADUN Seputih anti-Melayu, Anti-Muslim dan Anti-Jawi. Saya tidak berhasrat melihat isu politiknya di sini. Namun saya terpanggil – setelah keadaan makin tenang kini – untuk ‘membaca’ isu tulisan Jawi yang disentuh dan disinggung oleh YB Teresa.

Semasa membantah tulisan Jawi pada papan tanda jalan di Taman Seputeh, YB Teresa telah menyatakan bahawa rasional bantahannya adalah kerana penggantian papan tanda tersebut membazirkan wang rakyat. Pada waktu lain, beliau telah memberi cadangan agar papan tanda pelbagai bahasa digunakan di KL bagi menggantikan papan tanda bahasa kebangsaan dalam tulisan Rumi dan Jawi. Kenyataan beliau (bersama-sama dengan replika papan tanda pelbagai bahasa tersebut) jelas mempersenda-sendakan diri beliau sendiri. Pada satu masa, beliau membantah penggantian papan tanda baharu (dengan tulisan Jawi) kerana faktor kos, sementara pada waktu lain beliau mencadangkan papan tanda yang baharui diganti itu diganti sekali lagi dengan menggunakan pelbagai bahasa pula. Soalnya : faktor kos lagikah?

Berdiri di negara Malaysia sudah pasti menghayati prinsip “di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung”. Konsep Malaysian Malaysia DAP sewajarnya menghayati konsep wujudnya masyarakat pribumi asal yang perlu dijadikan landas dan asas pembentukan bangsa Malaysia. Sudah terang lagi bersuluh : bangsa Melayulah!

Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan menyebut bahawa tulisan bahasa Melayu (bahasa kebangsaan Malaysia) ialah tulisan Rumi dan tulisan Jawi! Jadi, YB, apa masalahnya?

19 Ogos 2008

Pendidikan Kebangsaan

Pendidikan ialah wahana perpaduan. Pendidikan yang hanya bermatlamat untuk memajukan diri semata-mata tidak akan membawa kemakmuran kepada negara dan nusa. Bahkan pendidikan sedemikian akan hanya membawa kehancuran kepada masa hadapan negara.

Lihatlah sejak akhir-akhir ini, semakin banyak rakyat Malaysia yang mempersoalkan banyak perkara. Semua ini gara-gara semakin berpelajarannya mereka. Banyak perkara yang menyentuh isu dan kedudukan bahasa dan bangsa Melayu sebagai teras bahasa dan bangsa kebangsaan dibangkitkan. Ironinya, tidak seperti dekad 80-an dan 90-an, orang Melayu - Islam sendiri yang mempertikaikan kewajaran dan kedudukan bahasa dan bangsa Melayu. Selepas bahasa Melayu 'dimakamkan tanpa nisan' dalam mata-mata pelajaran berbentuk sains, matematik dan teknologi / teknikal, kini semakin besar suara Melayu yang menghina orang Melayu yang belajar dalam bahasa dan di negara sendiri. Paling akhir, cadangan membuka 10% UiTM kepada bangsa bukan Melayu - Bumiputera. Aneh sungguh...

Secara logik, memanglah pelajar Melayu perlu bersaing. Namun, jika dikaji, banyak perkara lain yang perlu dihalusi. Memang UiTM bukanlah satu tempat yang 'benar-benar Melayu'. Bahkan kebanyakan bahasa pengantar pengajiannya dalam bahasa asing. Memang itu sudah menjadi rahsia umum. Namun takkanlah kerana marah akan nyamuk, kelambu dibakar? Ingatlah... lulus jarum, luluslah kelindan!

Ingat kembali kenyataan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi bahawa sekarag, walaupun 10% kemasukan di MRSM diberikan kepada bukan Melayu, tetapi realitinya pengambilannya sudah melebihi 10%. Hal itu belum dikira dengan keadaan di sesebuah MRSM, Kolej Matrikulasi, dan SBP. Sesetengah institusi ini menempatkan lebh 20% pelajar bukan Melayu - Bumiputera. Sewajarnya 10% bermaksud maksimum hanya 10% pelajar bukan Melayu - Bumiputera yang berada pada satu-satu masa di sesebuah institusi yang dibina khas untuk orang Melayu - Bumiputera ini!

Jadi, sebelum nasi menjadi bubur, sebelum kisah Pak Kadok kembali berulang, ayuh, marilah sama-sama kita renung semula dan memuhasabah diri : benarkah pendidikan sebegini yang ingin kita wariskan kepada anak cucu kita?

Sang Pembicara

Tempat ketiga! Memang tak terduga, dengan saingan sengit daripada 15 peserta lain, Alia Ummira binti Radzi, pemidato IKUPS, wakil negeri Ked...