MUKADIMAH
“Perlu ada keberanian politik”. Itulah kesimpulan daripada wawancara khas Mingguan Malaysia dengan Felo Utama Institut Kajian Etnik (KI TA) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM ), PROF. DATUK DR. TEO KOK SEONG di pejabat beliau, Rabu lalu. Bercakap kepada wartawan, AMIZUL TUNIZA R AHMA D TERMIZI dan jurufoto FA RIZ RUSADIO, beliau yang juga Ketua Kluster Sejarah, Warisan dan Sosiobudaya Majlis Profesor Negara memberitahu, sistem pendidikan pelbagai aliran yang diamalkan di Malaysia sekarang jelas terbukti menyebabkan jurang antara kaum semakin melebar selepas 58 tahun negara merdeka. Tegas Kok Seong, belum terlewat untuk kerajaan melakukan perubahan dengan pelaksanakan sistem pendidikan satu aliran supaya semua rakyat negara ini berkongsi aspirasi nasional dan bukannya terhad kepada etnik masing-masing. “Kita dahulu percaya benda ini bagus untuk kita semua dan dapat dijayakan, tetapi setelah hampir 60 tahun, kita lihat perkara ini tidak berjaya pun. Jadi, kita harus ubah suailah,” kata beliau.
“Perlu ada keberanian politik”. Itulah kesimpulan daripada wawancara khas Mingguan Malaysia dengan Felo Utama Institut Kajian Etnik (KI TA) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM ), PROF. DATUK DR. TEO KOK SEONG di pejabat beliau, Rabu lalu. Bercakap kepada wartawan, AMIZUL TUNIZA R AHMA D TERMIZI dan jurufoto FA RIZ RUSADIO, beliau yang juga Ketua Kluster Sejarah, Warisan dan Sosiobudaya Majlis Profesor Negara memberitahu, sistem pendidikan pelbagai aliran yang diamalkan di Malaysia sekarang jelas terbukti menyebabkan jurang antara kaum semakin melebar selepas 58 tahun negara merdeka. Tegas Kok Seong, belum terlewat untuk kerajaan melakukan perubahan dengan pelaksanakan sistem pendidikan satu aliran supaya semua rakyat negara ini berkongsi aspirasi nasional dan bukannya terhad kepada etnik masing-masing. “Kita dahulu percaya benda ini bagus untuk kita semua dan dapat dijayakan, tetapi setelah hampir 60 tahun, kita lihat perkara ini tidak berjaya pun. Jadi, kita harus ubah suailah,” kata beliau.
MINGGUAN: Selepas 58 tahun merdeka, bagaimana Datuk melihat perpaduan rakyat Malaysia yang majmuk ini?
KOK SEONG: Tidak begitu baik, terutamanya di Semenanjung ini. Kalau istilah yang saya gunakan, cuma perpaduan sosial dan sosial itu pun kita berpaut sahaja. Kita dapat lihatlah peristiwa “Low Yat”, baju kuning dan baju merah. Nampak sangatlah bahawa perpaduan kita itu tidak utuh tetapi berpaut sahaja. Apabila ada angin kencang sedikit, cepat sangatlah terlepas.
Perpaduan yang paling baik ialah perpaduan peringkat psikologi. Contohnya seperti Baba Nyonya di Melaka dan Cina Peranakan di Kelantan. Nampak di situ mereka sanggup mengidentifikasi diri mereka dengan kaum Melayu seperti dondang sayang, dan berpantun pun pandai. Di Kelantan pula, mereka fasih berbahasa Melayu. Tahap begitulah seelok-eloknya.
Perpaduan hendak kata tidak ada, sebenarnya ada tetapi sangat lemah. Maksudnya, sepatutnya setelah hampir 60 tahun merdeka, perpaduan itu lebih utuh daripada sekarang. Tetapi nampak sekarang, hubungan etnik kita semakin mencapah dan besar jurangnya.
Pada pandangan dan pengamatan Datuk sendiri, kenapa keadaan ini boleh berlaku?
KOK SEONG: Banyak sebab. Antara sebab yang boleh dikatakan utama dan tidak mahu dibincangkan oleh banyak orang ialah saluran pendidikan. Sebab pendidikan ini, di mana-mana di dunia pun, bukan sekadar untuk memandaikan anak bangsa tetapi menyatukan anak bangsa. Memandaikan anak bangsa itu satu tujuan pendidikan tetapi di mana-mana pun, di samping itu, hendak juga menyatupadukan anak bangsa bagi membentuk negara bangsa yang lebih bersatu padu.
Apakah keadaan ini berlaku kerana negara kita membenarkan sistem pendidikan sekolah pelbagai aliran? Datuk sendiri menyebut terdapat tujuh jenis sistem pendidikan sekolah rendah dan ini menjadi “duri” yang menghalang penyatuan pelbagai kaum di Malaysia.
KOK SEONG: Ada orang kata tidak. Tetapi saya melihat sebagai ya. Buktinya beginilah, kita lihat anak-anak muda kita memperlihat polarisasi kaum. Jadi, di sekolah kita dapat lihat anak-anak Melayu sesama Melayu, Cina sesama Cina dan India sesama India. Inilah polarisasi kaum dalam kalangan orang muda di sekolah. Jadi, sudah tentu dasar dan sistem pendidikan itu ada kena- mengena.
Takkan kita hendak kata dasar pertahanan atau pertanian yang menyebabkan keadaan ini berlaku. Mesti, apabila anak bangsa di peringkat sekolah memperlihat gejala sedemikian, logiknya kita lihat balik dasar dan sistem pendidikan kita. Semua tahu dasar dan sistem pendidikan kita ada pelbagai. Kalau di sekolah rendah itu ada tujuh jenis.
Dari satu segi, kita bangga dan kita memberitahu dunia, sistem pendidikan kita paling demokratik dengan memberi pilihan paling luas kepada ibu bapa tetapi nampaknya sistem ini tidak membawa kita ke mana-mana terutama dalam aspek menyatu padukan anak bangsa.
Sebab, sistem kita yang pelbagai ini terutama yang tujuh jenis di sekolah rendah dan sebelum itu di tadika (prasekolah), menggalakkan pengasingan etnik berlaku di usia yang cukup muda. Sepatutnya kita ada penyatuan etnik daripada usia muda. Pepatah ada mengatakan kalau hendak melentur buluh biarlah daripada rebung.
Jadi, pada waktu rebung itu, kita sudah mengamalkan pengasingan etnik bermula dari tadika kepada sekolah rendah. Apabila di sekolah menengah, tidak begitu menjadi. Kita lihat polarisasi terus wujud di sekolah menengah, membawa ke institusi pengajian tinggi (IPT) dan tempat kerja.
Jadi, maksud Datuk sistem sekolah pelbagai aliran ini tidak mampu membentuk negara bangsa?
KOK SEONG: Dahulu kita percaya boleh, kepelbagaian itu kekuatan kita dan kita yakin boleh. Tetapi setelah hampir 60 tahun merdeka, nampak polarisasi kaum itu begitu nyata. Di sekolah rendah, kemudian bawa ke sekolah menengah, bawa ke IPT dan tempat kerja. Jadi nampak sangat. Saya rasa sudah sampai masanya, kalau kita betul-betul ada semangat kebangsaan dan patriotik, semua pihak harus berjiwa besar. Kita lihat kembali sistem pendidikan kita.
Di mana-mana negara di dunia pun, tidak diamalkan sistem pendidikan yang pelbagai ini, tetapi hanya ada satu sistem. Demografi kita majmuk dan ini sama dengan Singapura. Apabila melibatkan bidang pendidikan, Singapura tidak mahu majmuk tetapi hendak satu sahaja. Maksudnya, Singapura mengamalkan dasar asimilasi dalam pendidikan iaitu satu aliran. Amerika Syarikat (AS) dan Indonesia pun begitu juga. Boleh kata hampir semua tempat di dunia, sistem pendidikannya hanya satu aliran sahaja.
Sekiranya sistem pendidikan satu aliran dilaksanakan di Malaysia, apakah ia dapat menjamin wujudnya perpaduan dalam kalangan rakyat?
KOK SEONG: Kalau kita lihat di negara-negara yang mengamalkan sistem pendidikan satu aliran, kerana acuannya satu, kita dapat lihat anak-anak muda mendukung jati diri nasional yang sama. Ambil sahaja contoh Singapura, sama ada anak muda itu Melayu, Cina atau India, semua anak muda itu mendukung aspirasi dan jati diri Singapura iaitu identiti kosmopolitan, moden dan sebagainya sebab acuannya sebegitu.
Tetapi anak-anak muda kita, dapat lihat walaupun warganegara namanya tetapi ada yang tidak dapat berbahasa negara (Melayu) dan ada tidak faham nasionalisme. Tidak banyak mengetahui hal-hal negara tetapi hanya banyak mengetahui hal-hal bangsa mereka.
Kalau kita lihat Singapura melaksanakan sistem pendidikan satu aliran ini selepas negara itu mencapai kemerdekaan. Apakah Datuk fikir kita masih belum terlewat untuk mengubah sistem yang sudah berjalan sekian lama ini?
KOK SEONG: Ya dan tidak. Hendak kata lewat pun, memang sudah lewat pun. Apabila kita merdeka dahulu, kita memerintah sendiri tetapi mengapa kita harus perlu teruskan legasi penjajah dahulu? Mungkin penjajah dahulu mewujudkan sistem sedemikian, ada agenda dan matlamat penjajah. Apabila kita merdeka, kita harus memikirkan acuan kita sendiri iaitu satu jenis persekolahan yang kita gabungkan pelbagai kelainan itu.
Di Singapura, bahasa Cina wajib lulus oleh anak-anak Singapura. Maksudnya, bahasa Melayu, Cina dan Tamil wajib lulus peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau O-Level. Kalau tidak lulus, anak-anak Singapura tidak boleh menyambung pelajaran di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) Singapura tetapi di IPT swasta. Jadi, diikat sebegitu rupa. Maksudnya, kita pun boleh fikir.
Datuk ada cadangkan supaya sistem sekolah swasta, persendirian Cina, sekolah antarabangsa dan belajar di rumah dimansuhkan manakala sekolah kebangsaan, jenis kebangsaan dan agama digabungkan dalam sekolah satu aliran. Boleh Datuk huraikan lebih lanjut?
KOK SEONG: Maksudnya sekarang kita ada tujuh aliran di peringkat sekolah rendah. Sekolah kebangsaan menggunakan bahasa Melayu, sekolah jenis kebangsaan ada yang Cina dan Tamil, sekolah agama, sekolah swasta, sekolah persendirian Cina yang ada 60 buah itu, sekolah swasta dan belajar sendiri di rumah. Sekolah kebangsaan membekalkan pendidikan nasional. Sekolah vernakular membekalkan pendidikan etnik Cina dan India.
Sekolah swasta membekalkan pendidikan elit atau eksklusif iaitu orang kaya sahaja boleh pergi. Sekolah persendirian Cina, nama pun sendiri. Sukatan pelajarannya sendiri, sistem peperiksaannya sendiri dan tidak ada kena-mengena dengan sistem nasional. Sekolah antarabangsa kita tahu, kalau sukatan pelajarannya dari Amerika Syarikat (AS), maka itulah kiblatnya.
Dan belajar sendiri di rumah ini, di mana sosialisasi dan bagaimana hendak bergaul dengan orang? Jadi, kalau kita tengok, barang kali ada dua sahaja yang penting di sini, iaitu sekolah vernakular dan sekolah agama. Jadi, kita adakan satu sahaja iaitu sekolah kebangsaan.
Apa sahaja yang ada di sekolah agama itu, kita gabungkan di sekolah kebangsaan. Apa-apa yang ada pada sekolah vernakular Cina dan Tamil, kita gabungkan dalam sekolah kebangsaan. Sekolah swasta dan persendirian Cina itu sudah tidak perlu. Jadi, sekolah kebangsaan kita mengambil kira aspek agama Islam serta aspek vernakular Cina dan Tamil.
Mungkin orang kata mana cukup masa. Kita wujudkan sistem satu sesi. Di mana-mana di dunia pun, biasanya sekolah satu sesi. Bermula 7.30 pagi dan habis pukul 3 atau 4 petang. Masa panjang. Maksudnya, kita perlu fikir satu jalan yang baik untuk semua. Kita semua harus berjiwa besar tidak kira orang Melayu, Cina atau India.
Pada pandangan Datuk, apakah sekolah satu aliran ini masih perlu mengekalkan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar atau menggunakan bahasa Inggeris seperti Singapura?
KOK SEONG: Sudah semestinya bahasa pengantar utamanya adalah bahasa Malaysia atau bahasa Melayu. Di dalam itu, diajar bahasa Inggeris, bahasa Mandarin dan Tamil. Kalau hendak bawa masuk bahasa lain pun tidak apa seperti Telugu, Malayalam, Punjabi dan etnik di Sabah dan Sarawak. Kita gabungkan. Agama Islam pun ada dalam sistem pendidikan kebangsaan.
Maksudnya, kita ada sejenis sekolah sahaja. Hendak tutup sekolah jenis kebangsaan dan agama memang susah sebab sudah lama wujud dan akan menimbulkan kemarahan. Tetapi sekolah swasta itu memang tidak perlu sebab mereka cuma buat duit sahaja. Sekolah persendirian Cina pun tidak perlu. Kenapa perlu sekolah sendiri-sendiri yang tidak menggunakan sukatan pelajaran kebangsaan, sistem peperiksaan pun sendiri kononnya ambil dari Taiwan. Kenapa anak negara kita perlu belajar korikulum AS atau Australia.
Apakah tindakan menutup sekolah swasta dan persendirian Cina ini dibenarkan oleh undang-undang?
KOK SEONG: Dari segi perundangan itu mungkin rumit sedikit. Tetapi kalau kita berjiwa besar, yang utama sekali kita dapat lihat setelah hampir 60 tahun merdeka, perpaduan kita tidak ke mana, sebaliknya berpecah semakin teruk. Sepatutnya kita satukan dan jurang itu semakin kecil tetapi kini jurang itu semakin besar. Saya kira sudah sampai masanya, hendak tunggu bila lagi?
Kemajuan negara pun sangat bergantung kepada perpaduan ini. Sekarang sepatutnya sudah tiba perspektif bangsa Malaysia, bukannya bangsa Cina atau Melayu. Kita harus ingat, walaupun perspektif bangsa Malaysia, kerana kontrak sosial kita dahulu kaum Melayu adalah kaum dominan dan majoriti. Sebagai kaum majoriti, segala skima negara mengguna pakai nilai dan norma Melayu. Namun begitu skima bukan Melayu tetap diserap dan ini tidak ada masalah kerana kontrak sosial sudah begitu.
Ada pihak menegaskan kepelbagaian sistem pendidikan ini tidak boleh diubah kerana perkara ini dipersetujui oleh semua kaum ketika hendak mencapai kemerdekaan dan inilah acuan Malaysia. Komen Datuk?
KOK SEONG: Kita dahulu percaya benda ini bagus untuk kita dan dapat dijayakan tetapi setelah hampir 60 tahun, kita lihat benda ini tidak berjaya pun. Jadi, kita harus ubah suailah. Dari segi sistem pendidikan, kita harus lihat tidak ada negara lain di dunia membenarkan pelbagai aliran wujud sekali gus dan acuannya pelbagai. Nampak sangat ia tidak membawa kita ke mana. Jadi, mengapa kita perlu mempertahankannya?
Kita lihat sahaja Singapura, kepimpinannya Cina dan mereka dapat lihat bahawa dengan mengggunakan sistem sekolah pelbagai ini tidak ke mana. Jadi mereka memilih satu aliran sahaja dan oleh sebab aspirasi negara mereka lain, maka bahasa yang mereka pilih itu lain. Jadi, kita akan pilih bahasa Melayu yang dipersetujui. Kita tidak tinggalkan bahasa-bahasa lain tetapi terus gabungkan ke dalam sistem nasional kita.
Kalau ambil contoh di Singapura, berlaku bantahan besar-besaran daripada pejuang bahasa terutama orang Cina apabila Presiden Singapura ketika itu, mendiang Lee Kuan Yew mahu menutup sekolah-sekolah berasaskan perkauman. Keadaan ini juga sudah tentu berlaku di Malaysia jika tindakan sama hendak dilakukan oleh kerajaan kerana kaum bukan Melayu akan rasa mereka akan hilang jati diri, identiti dan budaya etnik.
KOK SEONG: Identiti etnik ini bukan bergantung kepada sekolah. Ia bergantung kepada banyak benda lain yang kaum Cina dan India boleh bangunkan untuk identiti etnik. Kita dapat lihat Kuan Yew ada keberanian politik walaupun dibantah. Tetapi nampak di Malaysia, kita tidak ada keberanian politik itu. Bukan kerajaan kita tidak ada keberanian politik langsung.
Ada, kalau kita lihat pelaksanaan pada cukai barang dan perkhidmatan (GST) yang dibantah dan ada pihak minta supaya ditangguhkan dahulu kerana keadaan ekonomi tidak baik tetapi kerajaan berani teruskan. Kita tengok dalam keberanian itu ada masalah tetapi sekarang seperti sudah boleh diterima. Jadi, kalau ada keberanian dalam sistem pendidikan, mungkin bantahan itu hebat tetapi kita semua perlu berjiwa besar. Maksudnya semua pemimpin Cina, India dan lain-lain perlu melihat masa depan negara.
Banyak pihak terutama pemimpin politik tidak berani menyentuh tentang sekolah pelbagai aliran ini, sebaliknya mempertahankan kewujudannya kerana risikonya terlalu besar kepada parti politik dan boleh menggugat hubungan antara kaum. Pandangan Datuk?
KOK SEONG: Kita tengok tidak ramai ahli politik hendak bercakap tentang sekolah satu aliran. Yang berani itu baguslah. Kita dapat lihat dalam waktu singkat apabila Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menjadi Timbalan Perdana Menteri, beliau telah menyuarakan kecenderungan kepada sekolah satu aliran. Beliau ahli politik. Kalau kita tengok (Menteri di Jabatan Perdana Menteri) Datuk Seri Abdul Wahid Omar, beliau berani tetapi dari satu segi kita dapat lihat beliau bukan ahli politik. Macam saya bukan ahli politik, lantang bercakap.
Tetapi rata-rata ahli politik sama ada daripada pihak kerajaan atau pembangkang, tidak berani bercakap sebab boleh menjejaskan karier politik mereka. Ini kerana masyarakat pada masa ini, rata-rata tidak nampak kebaikan sekolah satu aliran dan taksub dengan sekolah pelbagai aliran. Mereka takut jati diri etnik akan hilang. Jati diri etnik tidak akan hilang sebab bukan dihapuskan tetapi dikekalkan dalam bentuk sebaik-baik mungkin. Macam Singapura lakukan, anak-anak Cina wajib lulus bahasa Cina.
Kalau kerajaan tidak ada keberanian politik dan terus membenarkan sistem pendidikan pelbagai aliran ini, apakah yang mungkin akan berlaku di negara ini dalam pada masa hadapan, mungkin 10 tahun akan datang?
KOK SEONG: Kalau sistem itu melahirkan apa yang wujud sekarang, sudah tentu kalau kita terus mengamalkannya, perpaduan tidak wujud dalam bentuk lebih baik dan hanya pada kadar sekarang sahaja yang didakwa berlaku dalam keadaan tidak begitu utuh kerana sistem pendidikan. Ada macam teori bahasa yang mengatakan, negara yang membenarkan penggunaan lebih daripada satu bahasa sebagai bahasa utama, negara itu didapati kurang berjaya menyatu padukan rakyat.
Kalau kita lihat keadaan sekarang, kita membenarkan empat bahasa utama dibenarkan iaitu Melayu, Inggeris, Mandarin dan Tamil. Dan nampak kita tidak begitu berjaya menyatukan rakyat. Negara yang menggunakan satu bahasa utama didapati lebih berjaya menyatu padukan rakyatnya. Jadi, sistem pendidikan menggunakan satu bahasa utama sahaja iaitu bahasa Melayu dan didukung oleh bahasa Inggeris selaku bahasa antarabangsa dan bahasa-bahasa ibunda dan etnik yang lain.
Memang terbukti di dunia, daripada dahulu sehingga sekarang, bahasa boleh menyatukan ummah atau bangsa. Kalau dahulu di China, Maharaja Shih Huang Ti menggunakan bahasa dalam pengertian sistem tulisan yang sama bagi menyatu padukan kaum Cina yang berpuak-puak kerana bahasa mereka tidak difahami antara satu sama lain.
Tetapi dengan menggunakan sistem tulisan sama, kaum Cina bersatu padu. Tengok Indonesia, satu bahasa dapat menyatu padukan semua rakyat. Negara Thailand pun sama, sehingga orang Melayu di selatan Thai pun sudah tidak boleh berbahasa Melayu. Maksudnya, pembentukan negara bangsa itu berjaya melalui bahasa. Kita tidak begitu berjaya sebab kita membenarkan penggunaan lebih daripada satu bahasa.
Cadangan untuk mewujudkan sekolah satu aliran itu bukan perkara baharu. Ia sering timbul apabila wujud masalah dalam hubungan antara kaum tetapi tidak pernah dibincangkan secara serius. Komen Datuk?
KOK SEONG: Ia hangat sekejap sahaja. Nampaknya kita tidak ada keberanian politik. Kerajaan yang memerintah pun tidak sanggup melakukannya dan yang berhasrat memerintah pun, saya rasa tidak sanggup melakukannya. Apa yang kita boleh buat sekarang ialah kita manfaatkan sistem yang pelbagai ini. Kita cari jalan terbaik.
Bukan tidak ada usaha daripada pihak kerajaan. Kerajaan sudah cari jalan. Tetapi nampaknya setiap kali Kementerian Pendidikan cari jalan untuk kita manfaatkan yang ada sekolah Cina dan macam-macam ini, ada pihak yang membantah. Sebagai contoh pada 2011, kita sudah mula dalam sistem pendidikan sekolah rendah itu, Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR). Kita mulakan dengan satu sistem seragam. Hendak seragamkan kurikulum di sekolah kebangsaan dan jenis kebangsaan tetapi tidak berjaya.
Contoh, hendak seragam sukatan pelajaran Bahasa Melayu, yang di sekolah kebangsaan tidak sama dengan yang di sekolah jenis kebangsaan tetapi tindakan itu ditolak oleh kaum Cina dan India. Maksudnya mereka curiga dan balik kepada perasaan tidak percaya ini. Mereka fikir ada agenda politik daripada orang Melayu untuk memelayukan anak-anak Cina dan akhirnya mengislamkan anak-anak Cina.
Sebelum itu pun kita ada Sekolah Wawasan dan ada pihak yang bantah iaitu kaum Cina. Sekolah Wawasan itu tiga pentadbiran yang berlainan dan hanya wujud sebelah menyebelah sahaja, berkongsi padang permainan, kantin sekolah dan macam-macam lagi supaya ada integrasi antara murid. Di situ pun sudah nampak orang-orang tua ini tidak mahu dan hendak sekat. Mereka fikir ini ada agenda licik untuk memelayukan dan mengislamkan anak Cina. Sampai ke situ mereka fikir.
Cina Malaysia mesti jadi Cina Malaysialah. Dalam diri mereka mesti ada komponen Melayu sebab Melayu kaum dominan. Cina Malaysia mesti bezakan diri mereka dengan Cina di Hong Kong dan Taiwan. Takkan kita hendak struktur itu lagi. Itu zaman dahulu.
Kalau kita tengok orang bukan Melayu sama ada Cina atau India di Malaysia yang fasih berbahasa Melayu, kita nampak sikap positif mereka terhadap bahasa dan bangsa Melayu. Yang tidak fasih ini ada sikap negatif. Kita dapat fasihkan bahasa Melayu anak-anak kita melalui sekolah satu aliran. Mereka yang bersekolah di sekolah vernakular memang tidak fasih berbahasa Melayu. Apabila fasih kita nampak sikap mereka lain seperti boleh ajak berunding dan toleransi. Apabila mereka fasih bahasa Melayu, mereka tahu budaya Melayu. Apabila tahu budaya Melayu, tidak ada salah konsep dan stereotaip serta benci membenci dan tidak ada kejutan budaya.
Utusan
Tiada ulasan:
Catat Ulasan