19 Februari 2016

Keranda 152 Muncul Semula Demi Bahasa Melayu

oleh: Dato' Dr. Anwar Ridhwan, SN ke-10

ADA suatu perjuangan pencinta bahasa Melayu yang belum selesai. Perjuangan untuk melihat bahasa Melayu menduduki tempat yang utama di tanah air sendiri. Bahasa Melayu antara lain harus digunakan secara meluas dalam pelbagai urusan, termasuk komunikasi, perniagaan, pendidikan, wacana dan sebagainya. 

Pejuang bahasa Melayu bukan antibahasa lain. Mereka menyedari Tuhan mencipta pelbagai bangsa dan kaum di dunia ini, masing-masing dengan bahasa mereka. Oleh sebab Tuhan menurunkan bahasa Melayu kepada bangsa Melayu, mereka berasa bertanggungjawab mensyukuri kurniaan itu dengan terus berusaha memperkasakan bahasa Melayu ini. 

Mereka gembira kerana setahun sebelum merdeka, kerajaan telah menubuhkan Dewan Bahasa dan Pustaka. Agensi ini ditugaskan untuk membina dan mengembangkan bahasa dan persuratan Melayu. Tampaklah kepada mereka harapan masa hadapan bahasa Melayu dalam sebuah negara yang merdeka. Lebih-lebih lagi kedudukan bahasa Melayu dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan melalui Perkara 152. 

Bagaimanapun, sejak dekad awal kemerdekaan, harapan pejuang bahasa tidak seindah impian. Mereka melihat nasib bahasa Melayu yang mula terumbang-ambing dalam sejarah sosial Malaysia moden. Ini termasuk dalam bidang undang-undang kerana bahasa Melayu masih dipinggirkan, walaupun Malaysia telah merdeka. Lalu tercetuslah sajak dan peristiwa Keranda 152. 

Perarakan Keranda 152 dilakukan sebagai simbol kematian bahasa Melayu apabila bahasa Melayu tidak digunakan sebagai bahasa pengantar dan bahasa dalam bidang kehakiman. Bantahan itu terjadi pada 3 Mac 1967 di Balai Budaya, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Antara tokoh terpenting menggerakkan bantahan ini ialah Usman Awang yang ketika itu editor kepada beberapa majalah terbitan DBP. 

Pejuang Bahasa Hampa 

Pejuang bahasa pada masa itu hampa kerana bahasa Melayu tidak diletakkan pada kedudukan yang wajar menurut carta pemetaan Perlembagaan. Perlembagaan Persekutuan Perkara 152 dengan jelas menyebut kedudukan bahasa Melayu akan dinaikkan peranannya secara berperingkat dari 31 Ogos 1957 kepada tahap lebih baik 10 tahun kemudian, iaitu pada 1967. 

Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan juga meletakkan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Rasmi dan Bahasa Kebangsaan. Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan adalah sebahagian daripada kontrak sosial yang dipersetujui bersama oleh rakyat berbilang bangsa, termasuk Cina, India dan lain-lain. 

Golongan Melayu Prihatin 

Peristiwa Keranda 152 yang pertama itu melakarkan impaknya dalam sejarah sastera, sosial dan politik kebahasaan negara. Ia menandakan bahawa akan sentiasa wujud golongan Melayu yang prihatin terhadap perkembangan bahasa Melayu kurniaan Tuhan kepada bangsa ini. 

Empat puluh dua tahun selepas itu, muncul pula perarakan Keranda 152 yang kedua. Perarakan besar-besaran ini digerakkan oleh Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) dan Gerakan Mansuh PPSMI (GMP). Mereka menuju ke Istana Negara pada 7 Mac 2009 sebagai memprotes Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), kerana ia dilihat sebagai usaha ketara meminggirkan bahasa Melayu dalam subjek Sains, Matematik dan Teknologi di sekolah. 

PPSMI ternyata dasar yang gagal. Ia tidak dapat meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris pelajar melalui subjek Sains, Matematik dan Teknologi. Sementara itu, pelajar juga kurang menguasai subjek itu, kerana tidak diajar melalui bahasa ibunda yang lebih mereka kuasai. PPSMI dibatalkan pada 2012. 

Bagaimanapun, ada segelintir individu masih percaya penguasaan bahasa Inggeris boleh ditingkatkan melalui subjek Sains, Matematik dan Teknologi. Suara mereka didengar, lalu muncul DLP (Dual Language Program) untuk kira-kira 300 buah sekolah. Bagi pejuang bahasa Melayu, program DLP ini seperti menghidupkan semula PPSMI. 

Program ini dilihat sebagai satu lagi usaha meminggirkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu pengetahuan tinggi dan moden di negara sendiri. Isu DLP selama beberapa bulan kebelakangan ini menuntut pejuang bahasa Melayu bersatu dalam satu saf perjuangan. Mereka bukan antibahasa Inggeris. Mereka selalu menyarankan agar penambahbaikan penguasaan bahasa Inggeris dilakukan dalam subjek itu sendiri. 

Kumpulan pejuang bahasa Melayu ini menghadap Sultan Perak bagi menyampaikan keprihatinan terhadap masa depan bahasa Melayu. Khabarnya mereka akan mengadakan perhimpunan di Kuala Lumpur, minggu ini. Jika isu ini tidak diselesaikan, mungkin akan terlakar pula peristiwa Keranda 152 yang ketiga. 

Penulis ialah Sasterawan Negara dan Pensyarah Kanan Fakulti Penulisan Kreatif ASWARA

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/124918

Tiada ulasan:

Sang Pembicara

Tempat ketiga! Memang tak terduga, dengan saingan sengit daripada 15 peserta lain, Alia Ummira binti Radzi, pemidato IKUPS, wakil negeri Ked...