... langkah meningkat upaya kompetensi dan kualiti guru merupakan prasyarat kritikal yang menunjang kejayaan sistem pendidikan negara. Oleh itu, bagi menjana mula prakarsa ini, di samping 38.7 bilion ringgit peruntukan kepada Kementerian Pelajaran bagi perbelanjaan mengurus dan pembangunan, Kerajaan akan menyediakan peruntukan tambahan sebanyak 500 juta ringgit bagi meningkatkan kemahiran guru dalam pengajaran subjek-subjek teras, yakni Bahasa Kebangsaan, bahasa Inggeris, sains dan matematik melalui pendekatan Higher Order Thinking Skills. Peruntukan ini juga merangkumi penubuhan Unit Pelaksanaan Pendidikan atau Education Delivery Unit bagi memantau dan menilai keberkesanan pelaksanaan transformasi pelan tersebut.
Itu antara aspek yang disentuh dalam Bajet [sic!] 2013 oleh kerajaan pada Jumaat, 28.9.12. Peruntukan RM 500 juta bukan satu jumlah yang sedikit. Sewajarnya peruntukan sebesar ini digunakan dengan sebaik-baik mungkin demi memartabatkan pendidikan negara. Sesungguhnya kita amat menghargai usaha kerajaan dalam memartabatkan pendidikan negara melalui peruntukan ini. Dalam pada itu, semua warga pendidik wajar mengambil cakna program-program HOT yang bakal dilaksanakan menerusi peruntukan ini, terutama untuk pelajar yang mengguna pakai kurikulum baharu pendidikan : KSSR dan KSSM. Sehubungan dengan itu juga, penilaian dalam PBS wajar mengoptimumkan keupayaan berfikir dengan tidak merendahkan pemikiran pelajar dengan memberi alasan penilaian Band yang tidak menggalakkan kemahiran berfikir.
Walau bagaimanapun, memandangkan empat mata pelajaran teras ini (sebenarnya berkemungkinan akan menjadi tujuh, jika sains dan matematik elektif turut dimasukkan) menggunakan peruntukan RM 500 juta itu, maka kita berasa ragu-ragu terhadap pembahagian peruntukan itu. Melihat sejarah lampau, khususnya sejak program MBMMBI dilaksanakan pada 2011, peruntukan yang tidak sama rata antara pembangunan bahasa Melayu (bahasa kebangsaan) dengan bahasa Inggeris telah diberikan. Bahkan penguasaan bahasa Inggeris amat ditekankan dengan 'peminggiran secara terancang' terhadap bahasa kebangsaan. Tiada program-program khusus meningkatkan bahasa Melayu berbanding dengan program-program khas untuk bahasa Inggeris oleh PPD dan JPN. Kita tidak pasti bagaimana peruntukan itu diagihkan, tetapi jika dilihat pelaksanaannya, jelas bahasa Melayu semakin terpinggir. Kita tidak menafikan terdapat program oleh KPM seperti kursus-kursus 3 hari MBM yang dijalankan oleh BPG di IPGM di seluruh negara, tetapi kesesuaian kursus tersebut dengan keperluan P&P sangat diragui.
Pelaksanaan dan perbelanjaan untuk program MBMMBI itu telah menyebabkan kita sedikit berprasangka terhadap peruntukan yang diumumkan oleh Perdana Menteri dalam Bajet [sic!] 2013. Kita risau sekiranya peruntukan yang besar itu hanya ada pada nama untuk program-program peningkatan penguasaan bahasa Melayu, sedangkan dalam mata pelajaran lain, khususnya Bahasa Inggeris, digunakan dengan membayar gaji guru-guru import selain membayar program Peperiksaan Cambridge dan kursus-kursus diimport lain.
Sementelahan, Laporan Awal Pelan Pembangunan Pendidikan yang dilancarkan Perdana Menteri baru-baru ini tidak memberi kedudukan yang jelas dan teratas kepada Bahasa Melayu/Kebangsaan, tetapi sering dikaitkan dengan penguasaan bahasa Inggeris dan bahasa asing lain, khususnya bahasa Mandarin. Keraguan-keraguan ini sedikit sebanyak memberikan ketidakpastian terhadap penguasaan dan pengupayaan bahasa Melayu sebagai bahasa utama pendidikan kebangsaan, yang sudah pasti tidak dapat tidak perlu dimartabatkan selari dengan dasar MBMMBI yang telah diperkenalkan oleh kerajaan.
Kita amat berharap peruntukan belanjawan ini akan digunakan dengan penuh tanggungjwab dan adil oleh pelaksana, agar peruntukan tersebut dapat menatijahkan hasil yang diharap-harapkan oleh seluruh rakyat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan