06 Februari 2012

Asal Usul Melayu : Pentingkah?

Persidangan Asal Usul Melayu : Induknya Di Alam Melayu di Kuala Lumpur yang dirasmikan Timbalan Perdana Menteri pada 20 Januari 2012 telah memperkukuh teori tentang asal usul bangsa Melayu. Menurut Timbalan Pengerusi Persidangan, Prof. Zaharah,orang Melayu berasal dari Afrika, bukannya dari Utara (Taiwan - Yunan). Beliau membawakan bukti genetik dan arkaelogi serta antropologi.

Hakikatnya, teori asal - usul orang Melayu telah mengambil ruang perdebatan yang lama dan panjang. Pelbagai teori dikemukakan dengan bukti - bukti terkini. Sehingga terdapat bukti - bukti yang absah dan diterima semua pihak, maka teori - teori ini akan kekal menjadi kisah akademik di universiti.

Walaupun begitu, terdapat beberapa pandangan daripada masyarakat awam yang agak menarik. Dalam ruangan komen (respons) pembaca dalam sebuah portal berita di internet, terdapat tiga jenis respons. (1) Menganggap teori tersebut sesuatu yang mesti terus diperdebatkan dengan penuh ilmu (2) Menganggap teori tersebut 'pelik', menyalahi akal dan 'menyalahi agama',dan (3) Memandang sinis teori ini dan menganggap kajian terhadap asal - usul Melayu ini sesuatu yang sia-sia, tidak berfaedah dan hanya bertujuan mengangkat ketuanan Melayu di Malaysia. Daripada ketiga - tiga jenis respons tersebut, respons ketiga begitu banyak dan menarik saya untuk meneliti dengan penuh minat.

Kebanyakan pandangan ketiga berbaur dengan perspektif politik kepartian. Disebabkan sebuah parti politik tanah air (yang agak dominan pula) yang secara jelas menyebut bahawa perjuangan mereka adalah untuk 'mengangkat kedudukan bangsa Melayu', maka kebanyakan komen menjurus bahawa penemuan ini bertujuan mengukuhkan kelangsungan parti politik tersebut (saya kurang berminat menyambut pendapat - pendapat ini). Namun secara ringkasnya, pendapat ketiga ini lebih bermotifkan politik murahan daripada menggunaka akal yang waras. Dalam pada itu, ada juga yang secara mudah menyebut bahawa Melayu di Semenanjung ialah pendatang dari Indonesia! Persoalannya - Melayu itu siapa? Kepada yang berpendapat begini, saya cadangkan 'anda' meluangkan sedikit masa untuk membaca semula teori yang dikemukakan oleh Dr. Zaharah tersebut, iaitu berkenaan 'siapa' yang dikatakan sebagai Melayu.

Melihat kepada betapa kurangnya kajian dan penerimaan secara rasional terhadap pengkajian terhadap bangsa Melayu oleh masayarkat - termasuk oleh bangsa Melayu sendiri, maka tidak hairanlah ramai orang yang berasa malu untuk mengaku sebagai Melayu. Malah, ramai bangsa Melayu yang secara 'selamba badak' mencerca dan merendah-rendahkan bangsa sendiri dengan pelbagai cara. Dalam ceramah-ceramah; sama ada di pentas politik mahupun pentas agama, Melayu seolah-olah menjadi satu liabiliti. Apatah lagi dengan bahasa Melayu. Maka mitos 'Melayu malas' dan 'Melayu bodoh' serta bermacam-macam perkara negatif semakin membusut dan membukit dalam minda orang - orang Melayu. Benar sekali, dalam era kesejagatan kini, persoalan bangsa bukan lagi faktor dalam membina kemajuan. Namun hal ini tidaklah bermakna kita perlu melupakan asal-usul bangsa dan keturunan. Seperti seorang tua yang sudah lama berhijrah, dalam hatinya tidak dapat tidak ingin kembali ke kampung halamannya semula : tempatnya mengejar ayam dan bermain laga buah getah! Begitulah, dalam mengejar kemajuan material, akhirnya kita pasti akan mencari asal - usul kita. Bukan untuk mendabik dada, tetapi sebagai mengagumi jati diri bangsa. Saya tidak pasti sama ada krisis identiti ini wujud dalam kalangan masyarakat lain di Malaysia, tetapi persoalan ini sungguh membimbangkan saya, sebagai seoang Melayu.

Ada orang menyebut, ada apa dengan bangsa : kita mesti berbangga diri kita sebagai seorang Muslim! Saya setuju seratus peratus. Memang benar, ada apa dengan bangsa tanpa agama. Namun begitu, bukankah Allah s.w.t sendiri yang menciptakan pelbagai bangsa dan keturunan? Bukankah itu juga sesuatu yang perlu kita ambil sebagai 'ibrah?

Akhir sekali :: saya mengingatkan diri saya dan orang - orang yang boleh saya peringatkan bahawa mengenali, mengetahui dan menyedari asal - usul bangsa dan keturunan bukan untuk berbangga bangsa mana yang lebih baik dan 'superior', tetapi untuk menyedari bahawa begitulah ciptaan Yang Maha Esa - pelbagai bangsa dan bahasa diciptakannya! Oleh itu, saya berbangga dengan diri saya sebagai seorang Melayu, lebih bangga kerana saya seorang Melayu Islam (semoga dikekalkan hidup dan mati dalamnya, amin!)

3 ulasan:

yui berkata...

pentinglah jugak untuk mengkaji..tp klu nak didebatkan tu mcm xperlu plak..

eh betul x?

Ahyad berkata...

saya bersetuju dengan pendapat cikgu.. saya juga seorang Melayu-Islam... hehe

Areff Ibn Salleh berkata...

Hikaru:: didebatkan juga penting, tapi hanya oleh mereka yang berdebat atas dasar ilmu, bukan atas dasar emosi dan politik murahan :) Kalau dah emo sangat tu, bagi aja kat prof di univ yang berdebat :-D

Sang Pembicara

Tempat ketiga! Memang tak terduga, dengan saingan sengit daripada 15 peserta lain, Alia Ummira binti Radzi, pemidato IKUPS, wakil negeri Ked...