03 Februari 2011

Realiti Kanak-Kanak Kita


Baru saja selesai menonton rancangan Junior MasterChef Australia di saluran Star World, Astro. Seronok menonton budak-budak berumur 12 tahun ke bawah memasak pelbagai hidangan. Menakjubkan! Memang masakan saya takkan dapat lawan diorang (antara sebab : masakan kek, pastri dan lain-lain tu memang saya tak reti :-) )

Dalam pada itu saya teringat kepada rancangan-rancangan realiti untuk kanak-kanak di negara kita. Selain tidak ada yang berbentuk masakan (kalau tak silap dulu pernah ada, tetapi tidak menarik), rancangan realiti kanak-kanak kita dipenuhi dengan acara hiburan yang menjurus kepada budaya hedonisme sahaja. Bintang Kecil, Kamilah Bintang dan lain-lain mengajar kanak-kanak berkelakuan seperti orang dewasa dengan lagu-lagu cinta, aksi dan tarian yang menjelikkan selain pakaian yang tidak seharusnya dididik kepada mereka. Selain mempertontonkan ‘realiti’ masyarakat kanak-kanak kita, rancangan tersebut tidak memberi sebarang manfaat sama ada kepada perkembangan minda mahupun proses sosialisasi kanak-kanak.

Dalam hal ini saya berpendapat rancangan realiti untuk kanak-kanak perlulah lebih berilmiah dan berunsurkan pendidikan bertaraf tinggi. Saya tertarik dengan persembahan Permata Seni yang diilhamkan oleh Datin Seri Rosmah (walaupun ada beberapa perkara yang tidak dipersetujui dalam projek ini). Mungkin pihak media elektronik kita boleh membuat pencarian seni taraf tinggi (bukan budaya popular dengan lagu-lagu dewasa) untuk kanak-kanak. Saya percaya dengan memberi pendedahan kepada seni dan budaya tinggi, sama ada melalui instrumen muzik mahupun tarian tradisional yang lembut dan berbudaya, matlamat Wawasan 2020 untuk maju dengan acuan sendiri akan tercapai. Kita sudah pasti tidak mahu Istana Budaya hanya mempersembahkan budaya popular, atau Dewan Fillharmonik Petronas dipenuhi dengan orkestra asing semata-mata! Tidak salah juga jika pencarian bakat kanak-kanak dalam bidang agama dan ilmiah seperti Akademi al-Quran versi kanak-kanak atau candawara-candawara berinformasi dalam pelbagai bidang dengan kaedah yang menarik. Tidak ketinggalan seni pengucapan awam seperti pertandingan pidato dan debat dijadikan rancangan realiti di stesen-stesen TV agar perkembangan kognitif kanak-kanak lebih subur. Malah di Singapura, konsep baru debat diperkenalkan oleh MediaCorp Channel 5 mendapat sambutan luar biasa penontonnya.

Semasa awal – awal diperkenalkan Akademi al-Quran dan Imam Muda, tak ramai yang percaya rancangan tersebut boleh menarik perhatian penonton dan pengiklan. Namun selepas disiarkan ia menjadi fenomena. Rasanya, jika rancangan realiti untuk kanak-kanak lebih berinformasi, penonton tetap tidak berganjak dari kaca TV masing-masing! Cuma, hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih!

Tiada ulasan:

Sang Pembicara

Tempat ketiga! Memang tak terduga, dengan saingan sengit daripada 15 peserta lain, Alia Ummira binti Radzi, pemidato IKUPS, wakil negeri Ked...