Setujukah anda PBS dimansuhkan? Atau ditangguhkan? Yang mana satu pilihan anda? Ramai yang menjawab bagi pihak guru-guru. Terima kasih. Namun adakah semua jawapan yang diberikan itu disebabkan oleh pemahaman terhadap isu atau sekadar 'pembacaan sepintas lalu' terhadap keluhan guru?
Secara peribadi, saya berasa kecewa dengan pelaksanaan PBS yang agak tergesa-gesa, ditambah dengan sistem kemasukan 'markah'(?) ke dalam 'hosting' PBS yang mengecewakan. Namun secara peribadi juga, saya tidak fikir PBS perlu ditangguhkan, apatah lagi dimansuhkan. Cuma yang penting, pihak KPM perlu dengan segera bertindak memberi maklumat yang seragam kepada semua guru tentang pelaksanaan PBS ini. Lebih aula lagi, agensi-agensi dalam KPM terutama Bahagian Pengembangan Kurikulum (BPK) dan Lembaga Peperiksaan (LPM) perlu terlebih dahulu faham dan berpegang pada keputusan yang tuntas daripada KPM sendiri. Kita tidak mahu apabila BPK dan LPM memberi makumat yang bercanggah antara satu sama lain, khususnya dari aspek penilaian sumatif, sama ada wujud ataupun tidak. Seharusnya isu ini dibincangkan dan difahami secara jelas oleh kedua-dua agensi dan pegawai-pegawai yang terlibat. Malang sekali sekiranya ada pegawai UPP JPN (termasuk Jurulatih Utama) dalam taklimat masing-masing memberi peringatan kepada peserta kursus "Jangan tanya banyak-banyak kepada saya, sayapun tak berapa faham dengan PBS ini!". Memalukan!
Kesimpulannya - teruskan PBS dan tambah baikkkan konsep dan pelaksanaannya. Menunggu semuanya sempurna baharu dilaksanakan adalah terbaik, tetapi jika sudah dilaksanakan, teruskan sahaja walaupun terdapat kesukaran di sana sini. Bas henti-henti lebih tidak disukai daripada bas ekspres yang tersalah tengok peta!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan