Khidmat Komuniti Pendidikan Kali Kedua
Ke Sekolah Menengah al-Islah, Sg. Petani, pasukan pendidik bagi Program Khidmat Komuniti SBPIKP telah bertandang. Kunjungan seramai enam orang guru - termasuk seorang guru dari Sek. Men. Sultan Abdul Halim, Jitra pada 15 Oktober 2010 itu bermaksud memberikan khidmat bakti kepada pelajar-pelajar sekolah tersebut yang bakal mengambil peperiksaan SPM pada tahun ini. Bengel Teknik Penjawaban Soalan bagi mata pelajaran Kimia, Biologi, Sejarah dan Bahasa Melayu telah diadakan di Bilik Seminar sekolah tersebut mulai jam 8.45 pagi hingga 5.30 petang.
Bengkel telah diadakan sebanyak dua sesi, iaitu mata pelajaran Kimia dan Biologi pada sebelah pagi, diikuti oleh Bahasa Melayu dan Sejarah pada sebelah petang. Bengkel Kimia dikendalikan oleh En. Mohd Anuar Nasri bin Nasir dari SM Sultan Abdul Halim, Jitra sementara Biologi oleh En. Zahrul Fuad bin Yang Razali. Pada sebelah petang, Pn. Saidah bt Abdullah dan Pn. Rosmini bt Abdullah telah meneruskan bengkel bagi teknik menjawab soalan Sejarah, diikuti oleh Cg. Ariffin bagi subjek Bahasa Melayu. Seramai 25 orang pelajar dari Sek. Men. Al-Islah terlibat dalam bengkel ini. Sepanjang bengkel berlangsung, kami ditemani oleh guru-guru subjek berkenaan yang turut bertanyakan aspek-aspek yang lazim dilakukan kesilapan oleh pelajar.
Keseluruhannya, program ini telah berjalan lancar. Namun kekangan masa menjadikan kebanyakan penceramah terpaksa memendekkan penerangan. Daripada soal selidik yang dijalankan, majoriti pelajar berpuas hati dengan bengkel pada hari tersebut. Namun masih ada beberapa aspek yang perlu diperbaik bagi menambahbaikkan program ini pada masa akan datang.
Apa-apapun, selaku Setiausaha Program Khidmat Komuniti Pendidikan SBPIKP Kali Kedua, saya merakamkan jutaan terima kasih kepada semua guru yang terlibat dalam program ini : Pn. Faridah, Pn. Rosmini, Pn. SAidah, En. Anuar dan En. Zahrul atas komitmen mereka. Kepada pengurusan, guru-guru dan pelajar-pelajar Sek. Men. Al-Islah pula, terima kasih daun keladi atas kesudian menerima rombongan kami ke sana. Apa-apa yang kurang mohon dimaafkan, namun jika sudi, jemputlah lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan