Salam tahun baharu 2010. Nampaknya, tradisi berfoya-foya masyarakat Malaysia pada malam tahun baharu terus disegar-bugarkan, sama ada oleh individu, masyarakat, syarikat-syarikat korporat, mahupun agensi-agensi kerajaan sendiri. Maka pada perkiraan saya, surat khabar- suarat khabar Malaysia perlulah berhenti daripada menyiarkan berita "Pesta Seks Tahun Baharu", "Remaja Ditangkap Bergaduh Malam Tahun Baharu", "100 Pengunjung Kelab Malam Ditahan Positif Dadah" di dada-dada akhbar masing-masing. Hal ini demikian kerana tradisi itu sudah "diizinkan dan digalakkan oleh semua"!
Namun, selain menyambut tahun baharu dengan bunga api (mungkin sebagai mukadimah kepada "api" yang lebih besar di akhirat nanti), tahun ini negara kita menyambut tahun baharu dengan perkara yang lebih besar. Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan kalimah "Allah" digunakan dalam penerbitan akhbar mingguan Kristian Katolik "The Herald". Menurut Yang Arif Hakim Lau Bee Lan, kalimah Allah bukan eksklusif kepada Islam, tetapi berhak digunakan oleh semua rakyat Malaysia. Anehnya The Herald hanya menggunakan kalimah Allah sebagai ganti God/ Jesus dalam penerbitan bahasa Melayu sahaja, tidak dalam penerbitan bahasa Inggeris.
Aneh lagi, seorang ahli parlimen daripada parti yang seruannya "Allahu Akbar" bersetuju dan mengalu-alukan keputusan mahkamah. Tiada hasrat saya mengulas pendapat "ilmuwan merangkap politikus" tersebut.
Apa yang membimbangkan kita ialah kesan jangka panjang ekoran kebenaran tersebut. Yang kita bimbangkan bukanlah penganut Kristian menyebut Allah, tetapi yang kita bimbangkan selepas ini akan ada usaha untuk menyamakan agama Islam dengan agama-agama lain. Hal ini tidak mustahil kerana apabila tuhannya mempunyai nama yang sama, maka sudah pastilah -seperti fahaman golongan pluralisme- ajarannya dan matlamatnya sama. Yang membezakannya hanyalah "cara", sedangkan pada mereka, cara tidak penting asalkan matlamatnya sama. Mungkin konsep Dini Ilahi oleh Maharaja Akbar India (1542 - 1605) akan diterima secara beransur-ansur di sini akibat amalan tolak (Islam) ansur (masuk agama lain). Dalam pada itu, dakyah Kristian akan lebih berkesan kerana Jesus sudah tidak menjadi tuhan Kristian, tetapi Allah menggantikannya (dari segi nama) dengan tetap mengatakan Allah itu tiga (Allah telah memperingatkan hal ini dalam firman-Nya : Wahai bani israel, jangan kamu mengatakan bahawa Allah itu satu daripada tiga sedangkan kamu tidak mengetahui (hakikat-Nya)). Sudah menjadi rahsia umum pelbagai risalah dakyah Kridtian tersebar di peti-peti surat rumah-rumah di Lembah Kelang, khususnya di Kuasla Lumpur. Maka selepas ini siapa lagi yang boleh mempersoalkan ajaran "Allah Tiga dalam Satu, Satu dalam Tiga" kerana sudah dibenarkan oleh undang-undang?
Semoga Allah Yang Maha Esa membantu kita dalam "negara Islam" ini menyucikan kalimah-Nya Yang Maha Suci daripada disyirikkan oleh lidah-lidah kaum musyrikin, kafirin dan munafiqin!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan