17 Ogos 2015

PIDATO PIALA DIRAJA

Buat kesekian kalinya, peserta i-KUPs belum berjaya membawa piala kemenangan Pidato Piala Diraja di peringkat Negeri Kedah. Belum rezeki. Namun usaha dan semangat amat perlu diteruskan bersama-sama perancangan jangka panjang. Insya-Allah, tahun hadapan johan negeri akan berjaya disandang oleh peserta i-KUPs.

Dalam pertandingan yang diadakan sempena Karnival Bahasa Melayu di SMK Taman Mahsuri, Kulim pada 23 Julai 2015 itu, perserta dari Kolej Sultan Abdul Hamid (KSAH) Alor Setar berjaya menggondol kejuaraan dan seterusnya membawa cabaran negeri Kedah ke peringkat kebangsaan. Tahniah dan selamat berjaya kepada peserta tersebut.





Zaid menyampaikan pidatonya
  

Tajuk Pidato Spontan

   

Usai pertandingan... bergambar kenang-kenangan bersama-sama dengan pemidato, Zaid Aslam dan bekas pelajar i-KUPs, Amirah kamal Azizi


22 Julai 2015

Salam Syawal dari Bumi i-KUPs

Sambutan Hari Raya Aidilfitri (Ijtimak Aidilfitri) i-KUPs tahun ini penuh warna-warni. Samnbutan yang dikendalikan oleh Rumah Saidina Abu Bakar dengan kerjasama pelajar tingkatan empat pada tahun ini buat julung-julung kalinya mempunyai tema : Raya di Perantauan! Terima kasih kepada tuan rumah, dalam kesibukan pelbagai perkara masih sempat menjadikan sambutan tahun ini meriah seperti biasa!

Jom beraya!













21 Julai 2015

GEGAR terus GEGER

Tahniah kepada OXSIKA (Pertubuhan Bekas Pelajar SBP Integrasi Kubang Pasu - Organisation of Ex-Student of Integrasi Kubang Pasu) yang telah berjaya menganjurkan Karnival Tahunan OXSIKA : Gerbang Masa Depan i-KUPs (GEGAR 2015). acara kali kelima ini sememangnya ditunggu - tunggu oleh ramai pelajar Tingkatan 5 pada setiap tahun. Walau bagaimanapun, setelah lima tahun penganjurannya, mungkin satu pascanilai (post-mortem) yang menyeluruh perlu diadakan. Penilaian peserta, bekas-bekas urus setia, unit Kaunseling & Bimbingan, AJK tertinggi OXSIKA dan para guru wajar diberikan perhatian sekiranya program ini ingin diteruskan pada tahun - tahun akan datang. Pendekatan yang tidak klise perlu diperhalus agar sasaran dan matlamat program tercapai, bukan sekadar menjadi acara tahunan dan program 'tautan alumni' sahaja. 

Walau apa-apapun, tahniah atas kesungguhan dan iltizam OXSIKA dan urus setia yang menganjurkan program ini.









13 Jun 2015

Terbukti Sudah.... King Scout!

Alhamdulillah... selepas lebih enam bulan bertungkus-lumus, tiga orang ahli Pengakap SBPI Kubang pasu berjaya menamatkan ujian pentarafan Pengakap Raja pada 3 Jun 2015. Kem Pentarafan yang dijalankan di Kem Palas, Yan itu telah mengambil masa tiga hari bermula pada 1 Jun. Syukur kestiga-tiga Calon Pengakap Raja SBPI Kubang Pasu LULUS ujian dan menerima sijil Pengakap Raja masing-masing. Sijil tertinggi Persekutuan Pengakap Malaysia itu membuktikan komitmen, pengetahuan dan sikap sebagai seorang Pengakap yang menjunjung prinsip dan dan rukun Pengakap telah dihayati dan diamalkan oleh mereka. Insya-Allah, mereka akan menerima sijil yang ditandatangani oleh 10 orang Raja- raja Melayu (termasuk Pemangku Sultan Kedah) pada awal tahun hadapan di Istana Anak Bukit, Kedah. Semoga pengiktirafan Diraja ini menjadi pemangkin untuk mereka terus mengamalkan nilai-nilai murni yang diterapkan dalam aktiviti kepengakapan mereka.

Tahniah kepada:

  1. Mohd Irwan Fariz bin Hassan ZAim
  2. Muhamad Fathi bin Muhammad Fuad
  3. Muhammad Iqbal Yusri bin Yahya

16 Mei 2015

Syukran Murabbi...

Hari ini hari guru... terima kasih kepada semua guru saya:
 
  1. Arwah mak.. murabbi ulung yang mendidik hati, sejak lahir hingga kembali kepada-Nya;
  2. Ayah & keluarga ... yang mengajar salah betul, langkah dan injak...
  3. Ayah Teh...tok guru ngaji...mengajar kenal huruf, kenal Tuhan
  4. Guru-guru di SK Getang .... mengajar kenal dunia ini bulat
  5. Guru-guru di SMA Durian Guling ...mengajar indahnya dunia dengan kasih saying
  6. Guru - guru di SMA(Atas) Sultan Zainal Abidin .... mengajar bahawa lautan itu luas, geloranya juga ganas...
  7. Guru-guru di SMA Maarif ... mengajar kenal dunia dengan mata dan atma yang arif
  8. Mahaguru di UM ... yang mengajar kenal diri, berdikari, kenal siapa diri...
  9. Murabbi di IBMM ... yang mendidik diri menjadi pendiri anak bangsa, mencanai akhlak dan jiwa
  10. Teman-teman pendidik di SMAM & I-KUPs...kerana mengajar bahawa pendidik itu luas dunianya
  11. Anak-anak didik ... yang menyedarkan bahawa pendidik itu mulia, maka bukannya mudah untuk mencapai kemuliaannya....
 
Terima kasih semua... moga murabbi agung Rasulullah s.a.w terus mendidik hati ini...

OBOR HEMAH
 
Guru adalah awan indah terbang rendah, 
melimpahkan hujan pada musim gersang, 
menyegarkan benih ilmu, berbuah hikmah; 
ia renjis embun pada tanah bakat, 
suara ihsan ketika manusia kalah, 
sepi yang syahdu dalam dunia resah.
 
Guru - atap ganti ketika pondok bocor, 
ketika sejarah dalam bilik darjah, 
senyum penyembuh bagi wabak sengsara, 
ia - sungai rangsang sentiasa tenang, 
menghantar bahtera ke segara dharma, 
memesan angin menghikmahkannya.
 
Guru adalah penelaah yang tekun, 
mewariskan dunia sebagai kutubkhanah, 
menyediakan kutubkhanah sebagai dunia, 
ia mengemudi biduk, melepaskannya, 
atas lambungan laut, merangsangkan 
manusia menyelami rahsia khazanahnya.
 
Guru - minda segar dan kukuh akar, 
menghidupkan batin yang bersih 
di daerah dunia cemar kasih, 
dan pada ketika tak tersangkakan, 
walau diambilnya kemball semua buku, 
sempat ditinggalkan asas i1mu.
 
Guru adalah batin suci hatinurani, 
penjunjung budi, manusia yang takwa, 
obor hemah kehidupan bangsa.
 
A. SAMAD SAID
2 APRIL 1988

02 Mei 2015

Anak Serigala

Sudah lebih enam bulan saya mengasuh beberapa orang anak serigala i-KUPs. Bukan untuk menjadi serigala jadian, tetapi untuk memperoleh lencana tertinggi kebanggaan Pengakap (dan Pandu Puteri), iaitu Pengakap Raja.
Putera i-KUPs di Temu Duga Bakal Pengakap Raja 2015

Wajah-wajah putera serigala i-KUPs
Bermula pada November tahun lepas, enam orang Pengakap i-KUPs yang terdiri daripada empat putera dan dua puteri tingkatan empat, perjalanan ini diteruskan pada Februari, Mac, dan insya-Allah akan berpenghujung pada awal Jun nanti. Pada November, kem ke arah Pengakap Raja Siri 1 telah diusahakan oleh Pengakap Daerah Kubang Pasu dengan bantuan dan sokongan kuat Pasukan Latihan Daerah Kubang Pasu serta Kota Setar. Alhamdulillah, sedikit sebanyak ilmu kepengakapan telah diasah dan diasuh kepada putera-puteri ini. Pada Februari, sesuai dengan perubahan dasar di i-KUPs, seramai enam putera Pengakap i-KUPs telah menjalani Kem ke Arah Pengakap Raja Siri 2 di Rumah Pengakap Daerah. Pada Mac, tinggal tiga putera yang bersemangat serigala meneruskan perjuangan perjalanan ke Anak Bukit. Seusai Ujan Sikap yang dikelolakan oleh Pengakap daerah, bersama-sama dengan 10 orang putera-puteri Pengakap Kubang Pasu, mereka semuanya bergerak ke temu duga calon Pengakap Raja di Pusat Kokurikulum Pendidikan Daerah Yan di SMK Yan, Kedah. Syukur ke hadrat Illahi, mereka semua berjaya melepasi temu duga selama dua hari satu malam tersebut.

Kini, putera-putera i-KUPs sedang bertungkus-lumus mengulang kaji untuk peperiksaan pertengahan tahun yang bakal berlangsung pada 6 hingga 26 Mei. Selepas itu, mereka akan berjuang pula di Kem Pentarafan Pengakap Raja 2015 yang bakal dijalankan di SMK Gurun pada 01 hingga 03 Jun 2015. Semoga dengan cita-cita, semangat dan usaha yang membakar, mereka akan berjaya melepasi ujian tersebut dengan cemerlang. Semoga mereka akan menjadi putera-putera sulung i-KUPs yang menaikkan nama Pengakap Kumpulan 78 di persada negara, insya-Allah.

Doakan mereka....

05 April 2015

Guru Sarjana & Ph.D : Menunggu Buah Yang Tak Jatuh

Selepas pengumuman yang "menggembirakan" oleh JPA melalui Pekeliling Perkhidmatan Bil. 40 Tahun 2013, tiba-tiba ia senyap. Pekeliling yang memberikan tangga gaji yang lebih baik kepada guru yang mempunyai ijazah Sarjana dan Doktor Falsafah yang baharu berkhidmat atau yang baharu memperolehnya selepas pekeliling itu nampaknya tidak terpakai kepada guru-guru yang sudahpun mempunyai kedua-dua ijazah tersebut sebelum 1 Januari 2014. Walaupun dimaklumkan NUTP telah meminta dinaikkan tangga gaji untuk guru-guru pemilik ijazah Sarjana dan Ph.D (2 KGT untuk Sarjana & 3 KGT untuk Ph.D) setara dengan pegawai-pegawai PTD, namun nampaknya tiada siapa yang mempedulikan gesaan ini.

Nampaknya guru yang memiliki Sarjana & Ph.D bolehlah mem'frame' dan menggantungnya pada dinding untuk tatapan anak cucu!

Sang Pembicara

Tempat ketiga! Memang tak terduga, dengan saingan sengit daripada 15 peserta lain, Alia Ummira binti Radzi, pemidato IKUPS, wakil negeri Ked...