31 Mac 2013

Untuk kalian... anak-anak i-KUPs


Saat dinihari begini, hati ini tersedak. Dalam kebeningan alam, dalam kesunyian jiwa; entah mengapa atma ini terasa sayu. Kedinginan embun, jua kesayupan suara unggas malam, terasa begitu saujana, sedang sayupnya perasaan berkocak di kalbu. Entah mengapa... dalam kesyahduan irama bayu, dalam kesenduan bicara purnama, sukma ini tertancap pada anda semua - (bekas) anak- anak i-KUPs.


Bagaimana kiranya kalian. Sudahkah jeruk rasa yang membungkam di hati terburai di tengah-tengah keriuhan manusia? Sudahkan cengkaman azab di penjara sempadan terurai dengan derasnya masa mayapada? Moga-moga demikianlah. Moga-moga begitulah. Kerana sesungguhnya tiada keajaiban yang lebih ajaib di mata murabbi di sini melainkan melihat kalian gagah menyongsong badai realiti dunia. Kerana tiada yang lebih membahagiakan daripada melihat kalian tertawa meredah belantara sengsara dunia - tanpa gentar!

(gambar drp : http://ciffahmimalomuchacha.blogspot.com)

Dalam keriuhan yang sendu, masih terngiang - ngiang ucapan kalian : "terima kasih ... dan maafkan kami atas keputusan yang tidak seberapa". Sungguh, bukan itu yang hati kami inginkan. Bukan itu yang pendengaran kami dambakan. Kerana hakikatnya, jauh di lubuk sukma ini - kami yang harus mengucapkannya kepada kalian. Resah hati bukan kerana tersasarnya sasaran. Remuk jiwa kami kerana sedar bahawa harapan kalian, harapan ayah bondamu - tersadai di sumur ujian ini. Bukan ... bukan!!! Bukan kalian yang menjadi pendosa, bahkan dari dasar atma ini, terasa kamilah yang tidak berjaya. Gagal membawakan impian kalian melonjak membelah bulan. Gagal membawakan cita-cita kalian menggalah mengharung gelombang. Mungkin dalam leteran ada amarah. Mungkin dalam amarah ada benci. Mungkin dalam salam ada tersentuh perasaan. Mungkin dalam doa tiada ikhlas. Maaf... mungkin murabbi ini belum membalut qalbi dengan akhlak sesuci wali; iman setebal sahabat. Maaf...



Kerana kalian pewaris ummah. Kerana kalian penerus perjuangan. Maka teruskanlah, anak-anak... Bukannya ini perjuangan terakhir. Bukan ini pertempuran penyudah. Ini hanyalah pencetus semangat. Ujian yang ingin melihatmu bangkit daripada ketersungkuran. Kerana kami yakin bahawa, kalian ialah pejuang yang kental. Pahlawan yang tidak terkalahkan dek onak dalam cuka kehidupan. Pembela yang tidak terkesima dengan sedikit kejayaan. Usah kaukhuatir anak-anak... Kami reda dengan apa-apa yang ada pada kamu. Selagi kauturut titian syariat, selagi kaupandang dengan makrifat... selagi itulah restu kami memayungi kalian.

Teruskan perjuangan, anak-anak!

23 Mac 2013

SPM...berakhir satu penantian!

Alhamdulillah... keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia dah pun selamat diumumkan. Sebetulnya, keputusan tahun ini sedikit merosot berbanding tahun lepas. Walau bagaimanapun tahniah kepada semua anak didik i-KUPs. Bagaimanapun keputusan yang anda peroleh, itulah hasil daripada usaha anda. Mungkin yang berasa tidak berbaloi kerana usaha mereka sebenarnya amat tinggi, namun hasilnya sungguh sedikit. Misalan bagi seorang petani yang menanam padi: menggala, menyemai, menabur, membaja, meracun... semuanya telah dibuat. Pabila berbuah dijaga, dihalau ciak dan dihambat siput dan bena perang. Namun pabila sudah mahu dituai, tiba-tiba hujan turun. Lebat. Tenggelam semua hasil yang sudah terbentang di hadapan mata. Itulah yang Allah kurniakan. Mungkin sudah jemu mendengar - Setiap kejaidan ada hikmahnya! Namun itulah haikaktnya. Sedangkan mereka yang berusaha sedaya mungin juga sukar memperoleh keputusan yang hebat... apatah lagi kepada mereka yang hanya tidur sepanjang P&P di dalam kelas; bersembang pada waktu prep dan berdengkur dalam program Tutor Tutee. Waalhu a'lam!

Bagi yang sering tertanya danbertanya, inilah data-data SPM i-KUPs tahun ini:

Kelulusan : 99.46%
Gred Purata Sekolah : 2.15
Bilangan Semua A : 19
Bilangan Semua A+ : 0
Subjek Semua A : Pendidikan al-Quran dan Al-Sunnah
Ranking Daerah : No. 3
Ranking Negeri  : No. 4

Tahniah kepada semua pelajar, tahniah kepada semua guru yang telah bertungkus-lumus menjalankan program. Namun sudah pasti kita semua sedar bahawa; manusia hanya merancang, Allah yang menentukan!

Sedikit gambar di sebalik tabir untuk tatapan semua!

Pengumuman keputusan

Alamak....!

Kosong.....
Pembawa keputusan dari bilik pengetua...tetap seronok!


kenapa...ya??
Tak apa... kita akan atur startegi baharu untuk tahun ini!

Panjangnyaaa....
Terkejut?
Pelajar Semua A SPM 2012

21 Mac 2013

menelan jadam


merasai getir yang memenuhi
hati lidah dan rasa
kelu untuk berbicara. namun
dalam senyap jiwa tertawa
kerana, katanya : sungguh
tiada penawar yang lebih mujarab
daripada
jadam!

13 Mac 2013

Lari Dari Syurga - Pemberontak Muda?

Saya membaca koleksi cerpen (itu yang ditulis pada muka depan buku ini) Lari Dari Syurga yang dihadiahkan oleh salah seorang penulisnya, Pn. Siti Hajar. Catatan ini, walau bagaimanapun tidaklah mengikut hukum dan rumus kesusasteraan, apatah lagi jika dikatakan sebagai kritikan. Tulisan ini lebih menyorot karya-karya dalam koleksi tersebut dari sudut pandang pembaca 'tua'. 'Pembaca tua' kerana saya melihat hasil nukilan penulis 'muda' yang berkobar-kobar di dalamnya.

Seperti tajuk entri kali ini, saya rumuskan lebih 89% karya dalam koleksi ini ialah ekspresi pemberontakan 'orang muda'. Walaupun kebanyakan pemberontakan ini, khususnya kepada agama dan politik telah diluahkan dengan lebih halus dan sinis dalam tahun-tahun 70-an, namun koleksi ini boleh memberikan sedikit gambaran terhadap jiwa orang muda abad ke-21. Cerpen Menteri Bernama Barua sebagi contoh, jelas menampakkan 'kebaruaan' penulisnya apabila dengan lantang menyanggah realiti sosial kini. Canggahan itu sememangnya menarik sekiranya diadun dengan lebih berseni, kerana orang membaca karya untuk melihat aspek keindahannya. Jarang sekali orang membaca karya sastera untuk 'menikmati' suara-suara marah ala penulisan diari peribadi. Cerpen Demi Sebuah Janji yang mengadunkan ketidakpuasan hati terhadap dunia yang semakin kotor ini juga tampak klise dengan isu dan gaya penulisan yang kurang matang. Masalah LGBT yang terpapar dalam Lari Jangan Berhenti juga nampak hambar dan jelas kelihatan sekadar luahan protes anak muda. Mungkin penulis-penulis muda ini perlu bermula di arena yang lebih sihat berbanding dengan menulis secar semberono.

Walaupun begitu, daripada koleksi yang sama, penulisan Khalil Zaini (Dilarikan Cahaya...Entah), Hajar Zainal (Terpedaya Tercalar Terbakar) dan Ahmad Shukri (Perisai Halimunan Tasha) menampakkan hasil penulisan yang 'agak' baik. Walaupun selesai membaca Perisai Halimunan Tasha, terasa seolah-olah membaca karya buah tangan pertandingan penulisan cerpen fiksyen sains, namun tidak salah untuk bermula dengan karya sastera fiksyen, berbanding dengan karya picisan!

'Pemberontakan' anak muda dalam karya-karya Koleksi Cerpen "Lari Dari Syurga" ini memang ketara. Pemberontakan jiwa tentang sosial, politik, agama malah terhadap diri sendiri sekiranya digarap dengan lebih 'berilmu dan berakhlak'. Mungkin mereka ini tidak hanya boleh mengharapkan idea dan perasaan sahaja, tetapi perlu sedikit rajin menghadiri 'kuliah sastera' agar lebih suara mereka bukan sahaja didengari, bahkan kualiti sebagai penulisan insani lebih berjaya.

Cuma...sedikit ragu-ragu dengan "Sujud dua kiblat tak salah kerana Dia yang memberikan pilihan itu" (Sujud Dua Kiblat). Oh... pemahaman bahasa saya masih dangkal!

08 Mac 2013

Mim Enam Puluh Tujuh


 

MIM ENAM PULUH TUJUH
(mengenang helaian usia yang semakin menipis)

sudah terlalu lusuh usiaku
roda waktu yang berputar
dimakan karat besi
mataku kabur pada kabus membalut
gunung pengalaman
cinta kekasih ragu dan gundah
aku sendiri
memagut masa-masa sepi dan pedih
air mata yang menderas
pada pipi yang mulai kendur
keindahan tubuh-tubuh ranum
di padang ingin
sudah berlalu merembang senja
menggiring cemeti sayidina ali
ya Ilahi ya Rabbuljalil
dapatkah aku kembali tersenyum
bila melihat mawar sa'di di taman hayat
bolehkah aku mengecap nikmat
kecapi burung-burung syurgawi
antara nun dan mim
senyum tagihan cinta dan
waktu untuk bersama
anak-anak yang mulai hilang mesra
keanakannya, airmata atau beberan
Ilahi, aku mencari-Mu
dalam ayat-ayat suci-Mu
di tengah kehilangan
dan kejip obor umur
kian mengecil
adakah pingai dahulu
masih mengenal suaraku?
adakah sungai dingin dahulu
masih dapat mencium bau tubuhku?
bulan sabit di langit sepi sang salik
masihkah sahabat maklumi
kias iktibar perlakuan
gerak bibir kunfayakun
album usia yang robek
cinta insani yang dikebiri
tak betah tak bertanda
selain nafsu diri

(petikan sebahagian daripada sajak : Mim Enam Puluh Tujuh oleh
KEMALA, DBP 1999: 88-89)

03 Mac 2013

Matlamat & Kejayaan

Matlamat tanpa deadline adalah tidak lengkap. Apa jua matlamat yang ditetapkan, tetapkan sama deadline untuk mencapainya. Bila kah deadline yang terbaik? 6 bulan? 1 tahun? 3 tahun? 5 tahun? Atau 10 tahun?
Kebanyakan orang tidak menetapkan deadline untuk menetapkan matlamat oleh kerana takut, matlamat tersebut tidak dapat tercapai sebelum deadline! Sekiranya tidak tercapai, ia akan mengurangkan motivasi sendiri… oleh itu, mereka biarkan tarikh untuk mencapai matlamat tersebut terbuka- bila-bila masa sahaja!

Itu adalah pemikiran yang salah. Dengan menetapkan deadline untuk matlamat anda, anda memberi satu sasaran yang jitu. Apa akan terjadi sekiranya anda tidak berjaya mencapai matlamat sebelum tarikh deadline? Senang sahaja… berikan satu tarikh deadline yang baru! Ia hanya akan mengajar anda untuk lebih berusaha dan lebih realistik dalam mencapai matlamat. :) 

dipetik daripada  http://www.irfankhairi.com/blog/motivasi/tetapkan-deadline-matlamat-anda
 

Soksek Soksek SPM 2023

 Pasukan Academic Support Team (AST) PPD Kubang Pasu kembali turun menggempur calon-calon SPM Kubang Pasu 2023. Tahun ini, pasukan AST yang ...