28 Mei 2012

... terhalau

3 Mei 2012 saya menerima satu surat yang tidak saya tunggu daripada Jabatan Pelajaran Negeri Kedah - Arahan Mengosongkan Kuarters. Wah... selepas lebih lima tahun bermesra dengan alam di Kuarters, saya terpaksa keluar. Sememangnya itu bukan kuarters yang terbaik - dengan penghuni yang hanya seramai 11 buah rumah (berbanding kapasitinya : 100 buah rumah - 4 blok) dan persekitarannya yang kurang terjaga - rumput panjang dan lampu jalan kadang kala ada, tetapi banyak kala padam. Namun kata orang, tempat jatuh lagi dikenang, inikan pula tempat tidur..hermm. Bermulalah pencarian rumah baharu, mujurlah dapat juga rumah baharu yang dekat dengan sekolah. Walaupun ditawarkan KIP Hosba, namun disebabkan jaraknya yang agak jauh (lebih kurang 11 km) dari sekolah, saya tidak berminat untuk menghuninya. Syukurlah, tempat baharu tidaklah lebih buruk daripada kuarters lama. Dari tempat baharu juga boleh nampak kuarters, termasuk bangunan Blok D yang saya huni sejak 2007. Kalau-kalau rasa rindu boleh jenguk saja dari rumah baharu :)

Satu perkara yang saya peroleh :: rupa-rupanya perpindahan satu aktiviti yang sangat meletihkan. Dua minggu diambil untuk memindahkan semua barang - walaupun barang kecil dan juga untuk membersihkan rumah baharu dan rumah lama. Bagus juga, saya ada pengalaman awal, kalau nanti berpindah lagi, saya tahu apa yang perlu diutama dan dibuat :)

Apa-apapun, terima kasih kepada anak-anak yang membantu memindahkan barang-barang:: hujung tahun nanti kalian boleh lagi menyumbangkan kudrat (kalau sudi) :-D



Sayonara...

12 Mei 2012

Tahniah, anak-anakku!

Sejak hampir tiga minggu, riuh rendah dalam laman sesawang sosial 'facebook' kisah bekas anak-anak murid. Kisah mereka yang diterima ke Matrikulasi, Asasi, dan Diploma silih berganti. Ditambah dengan kegamatan mereka yang sudah mendapat tawaran ke luar negara - khususnya Mesir, bumi anbia'. Terdengar juga cerita debaran mereka yang menghadiri pelbagai temu duga : MARA, JPA, Badan Berkanun, pihak swasta sehinggalah ke kerajaan asing. Di celah-celah kegamatan itu, terselit juga cerita duka beberapa orang yang terpaksa memilih jalan lain untuk berjaya. Namun semuanya tetap berjaya : mengikut cara yang sudah ditentukan Allah kepada kita! Untuk makluman kalian, anak-anak didikku - saya masuk ke universiti menggunakan tiket STPM : dengan merit umum (bukan bergantung pada kuota Bumiputera :-D).

Apa-apapun sebenarnya ini ialah langkah kedua dalam perjalanan hidup. Saya sering berkata bahawa hidup kita ini seperti perjalanan balik ke kampung menjelang Aidilfitri. Ada kala perjalanan itu yang memberi nilai kepada kita, bukan semata-mata destinasinya : berebut mendapat tiket bas, menunggu bas, bas yang pancit di tengah jalan - semua ada. Semua itu sebenarnya yang memberi makna kepada diri kita : suka, duka, sabar, derita. Kalau tidak, bukan kehidupan namanya! Pintu untuk melintasi fasa kedua perjalanan hidup bergantung kepada takdir Yang Maha Mengetahui. Dia telah memberi kita beberapa pilihan, terpulanglah kepada kita untuk membuka pintu yang mana - yang sesuai untuk kita. Namun perlu diingat, bukan semua yang kita hajatkan itu baik untuk kita. Bukan semua yang kita rasa terbaik untuk kita tepat dengan pengakhiran perjalanan kita. Jadi, jangan lupa - beristikharahlah!

Sebenarnya kejayaan inilah yang menjadi hadiah terhebat untuk semua guru. Sebenci manapun kalian kepada guru-guru, se-meluat manapun kalian kepada kami, se-tension manapun kalian mendengar suara kami; kami tetap berdoa agar kalian berjaya. Anda dileter, dimarah, di...(macam-macam) kerana kasih kami kepada anda. Ada yang dinasihatkan keluar sekolah, juga kerana kasih kami kepada anda. Ayat ini agak klise. Anda mungkin mentertawakannya - mengejek. Namun hakikatnya, begitulah. Apabila anda berjaya dengan keputusan cemerlang SPM, kami bergembira. Apabila anda mengkhabarkan (atau kami tahu melalui langit terbuka ini), kami bersyukur. Dan insya-Allah, apabila anda sudah berkerjaya selepas menamatkan pengajian nanti - apa-apapun kerjaya anda - kami berbangga. Namun, sekiranya anda benar-benar menjadi seorang yang 'budiman' :: saya rasa bertuah!
 
Akhir sekali, TAHNIAH & SYABAS kepada semua bekas anak murid - anda harapan nusa dan bangsa, pembela agama! Sekiranya kita bersua lagi, sudah pasti dalam situasi yang tuntas berbeda! Selamat berjaya, semuanya!

03 Mei 2012

Hanya Sebuah Cerita


Nota : Coretan ini tercatat akibat terkesan dengan satu drama siri Korea.



Daku baru sahaja habis menonton episod terakhir drama siri “Master of Study” di saluran 391 Astro - KBS World. Sebenarnya bukanlah penonton tegar yang menunggu setiap hari untuk drama tersebut. Cuma, acap kali ‘tertonton’. [Bukan peminat K-Pop juga : walaupun tidak kisah kalau tertonton :D]. Walaupun banyak kali juga tertinggal episod-episodnya, namun ceritanya mudah diikuti. Kisah drama mudah: kesungguhan seorang guru (tak bertauliah) mendidik lima orang pelajar dalam ‘kelas khas’. Ya… cerita tentang guru, tentang pelajar, tentang sekolah. Dah namapun cikgu, tengok drama pun pasal cikgu sajalah.

Sebenarnya cerita biasa : cerita tentang seorang guru biasa yang luar biasa. Mendidik dari hati dan jiwa. Begitulah, membesarkan pelajar yang sedia besar, memanusiakan manusia. Sukar. Cerita tentang menjadikan pelajar yang lebih meminati wang dan keseronokan terus berada di dalam kelas – belajar! Dan akhirnya, berjaya. Wow…mudah, kan? Namun hakikatnya bukan sedemikian. Sama ada dalam filem, drama mahupun sketsa, perit jerih ini sering dipaparkan. Daku pernah menonton (dan hampir ‘mania’ sikit) dengan drama Jepun GTO – Great Teacher Onizuka, sewaktu di sekolah menengah dahulu (pernah teringin nak jadi macam tu, yg ceria dan penuh semangat – oh…. Tak boleh! Bukan diri…. :XD). Banyak cerita dari Jepun dan Korea yang bercerita tentang topik ini. garapan sempurna : sering dramatik, meruntun jiwa (malang drama Melayu hanya buat cerita cikgu yang masuk kelas yang buruk, tanpa jiwa – tiba-tiba teringat kat Cikgu Bedah dalam “Adik Manja”).

Apa yang daku nak tuliskan? Hermmm…mungkin satu coretan pertanyaan (untuk diri dan bakal cikgu – cikgi) :: “Mengapa kita memilih untuk menjadi guru?”

Soksek Soksek SPM 2023

 Pasukan Academic Support Team (AST) PPD Kubang Pasu kembali turun menggempur calon-calon SPM Kubang Pasu 2023. Tahun ini, pasukan AST yang ...