16 Mei 2015

Syukran Murabbi...

Hari ini hari guru... terima kasih kepada semua guru saya:
 
  1. Arwah mak.. murabbi ulung yang mendidik hati, sejak lahir hingga kembali kepada-Nya;
  2. Ayah & keluarga ... yang mengajar salah betul, langkah dan injak...
  3. Ayah Teh...tok guru ngaji...mengajar kenal huruf, kenal Tuhan
  4. Guru-guru di SK Getang .... mengajar kenal dunia ini bulat
  5. Guru-guru di SMA Durian Guling ...mengajar indahnya dunia dengan kasih saying
  6. Guru - guru di SMA(Atas) Sultan Zainal Abidin .... mengajar bahawa lautan itu luas, geloranya juga ganas...
  7. Guru-guru di SMA Maarif ... mengajar kenal dunia dengan mata dan atma yang arif
  8. Mahaguru di UM ... yang mengajar kenal diri, berdikari, kenal siapa diri...
  9. Murabbi di IBMM ... yang mendidik diri menjadi pendiri anak bangsa, mencanai akhlak dan jiwa
  10. Teman-teman pendidik di SMAM & I-KUPs...kerana mengajar bahawa pendidik itu luas dunianya
  11. Anak-anak didik ... yang menyedarkan bahawa pendidik itu mulia, maka bukannya mudah untuk mencapai kemuliaannya....
 
Terima kasih semua... moga murabbi agung Rasulullah s.a.w terus mendidik hati ini...

OBOR HEMAH
 
Guru adalah awan indah terbang rendah, 
melimpahkan hujan pada musim gersang, 
menyegarkan benih ilmu, berbuah hikmah; 
ia renjis embun pada tanah bakat, 
suara ihsan ketika manusia kalah, 
sepi yang syahdu dalam dunia resah.
 
Guru - atap ganti ketika pondok bocor, 
ketika sejarah dalam bilik darjah, 
senyum penyembuh bagi wabak sengsara, 
ia - sungai rangsang sentiasa tenang, 
menghantar bahtera ke segara dharma, 
memesan angin menghikmahkannya.
 
Guru adalah penelaah yang tekun, 
mewariskan dunia sebagai kutubkhanah, 
menyediakan kutubkhanah sebagai dunia, 
ia mengemudi biduk, melepaskannya, 
atas lambungan laut, merangsangkan 
manusia menyelami rahsia khazanahnya.
 
Guru - minda segar dan kukuh akar, 
menghidupkan batin yang bersih 
di daerah dunia cemar kasih, 
dan pada ketika tak tersangkakan, 
walau diambilnya kemball semua buku, 
sempat ditinggalkan asas i1mu.
 
Guru adalah batin suci hatinurani, 
penjunjung budi, manusia yang takwa, 
obor hemah kehidupan bangsa.
 
A. SAMAD SAID
2 APRIL 1988

02 Mei 2015

Anak Serigala

Sudah lebih enam bulan saya mengasuh beberapa orang anak serigala i-KUPs. Bukan untuk menjadi serigala jadian, tetapi untuk memperoleh lencana tertinggi kebanggaan Pengakap (dan Pandu Puteri), iaitu Pengakap Raja.
Putera i-KUPs di Temu Duga Bakal Pengakap Raja 2015

Wajah-wajah putera serigala i-KUPs
Bermula pada November tahun lepas, enam orang Pengakap i-KUPs yang terdiri daripada empat putera dan dua puteri tingkatan empat, perjalanan ini diteruskan pada Februari, Mac, dan insya-Allah akan berpenghujung pada awal Jun nanti. Pada November, kem ke arah Pengakap Raja Siri 1 telah diusahakan oleh Pengakap Daerah Kubang Pasu dengan bantuan dan sokongan kuat Pasukan Latihan Daerah Kubang Pasu serta Kota Setar. Alhamdulillah, sedikit sebanyak ilmu kepengakapan telah diasah dan diasuh kepada putera-puteri ini. Pada Februari, sesuai dengan perubahan dasar di i-KUPs, seramai enam putera Pengakap i-KUPs telah menjalani Kem ke Arah Pengakap Raja Siri 2 di Rumah Pengakap Daerah. Pada Mac, tinggal tiga putera yang bersemangat serigala meneruskan perjuangan perjalanan ke Anak Bukit. Seusai Ujan Sikap yang dikelolakan oleh Pengakap daerah, bersama-sama dengan 10 orang putera-puteri Pengakap Kubang Pasu, mereka semuanya bergerak ke temu duga calon Pengakap Raja di Pusat Kokurikulum Pendidikan Daerah Yan di SMK Yan, Kedah. Syukur ke hadrat Illahi, mereka semua berjaya melepasi temu duga selama dua hari satu malam tersebut.

Kini, putera-putera i-KUPs sedang bertungkus-lumus mengulang kaji untuk peperiksaan pertengahan tahun yang bakal berlangsung pada 6 hingga 26 Mei. Selepas itu, mereka akan berjuang pula di Kem Pentarafan Pengakap Raja 2015 yang bakal dijalankan di SMK Gurun pada 01 hingga 03 Jun 2015. Semoga dengan cita-cita, semangat dan usaha yang membakar, mereka akan berjaya melepasi ujian tersebut dengan cemerlang. Semoga mereka akan menjadi putera-putera sulung i-KUPs yang menaikkan nama Pengakap Kumpulan 78 di persada negara, insya-Allah.

Doakan mereka....

Soksek Soksek SPM 2023

 Pasukan Academic Support Team (AST) PPD Kubang Pasu kembali turun menggempur calon-calon SPM Kubang Pasu 2023. Tahun ini, pasukan AST yang ...